am@hmetro.com.my
Lipis: Perumahan mampu milik PR1MA Pahang akan dibangun mengikut konsep strata dan bertingkat jika terdapat keperluan selain bergantung kesesuaian, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata, rumah itu jenis milikan berasingan bagi setiap unit di dalam bangunan dua tingkat atau lebih yang dibina di atas sebidang tanah dan pembeli berkongsi akses kemudahan sama.
“Jika perlu dan bersesuaian, kita akan merangka pembinaan berkonsep jenis ini (strata) kerana tanah ini semua orang tahu, semakin lama semakin terhad dan wajar kerajaan memikirkan ke arah konsep ini.
“Tetapi kalau kita merasakan masih perlu pembinaan rumah di atas tanah (landed) kita akan teruskan… bila sampai masa nanti kita akan fikirkan di mana tempat-tempat yang bersesuaian kita akan buat (rumah strata),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah PR1MA Pahang Kuala Lanar Indah Jaya dan Penyerahan Rumah Rakyat Pahang (RRP) Daerah Lipis hari ini.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri akan terus membina rumah yang mengambil kira kemampuan dan taraf ekonomi rakyat.
“Ada rumah berharga RM150,000, rumah RM80,000 sehingga pemberian rumah percuma yang kerajaan sediakan mengikut keadaan dan kesesuaian.
“Kalau pembeli tidak mampu rumah berharga RM150,000 dan RM80,000, dan sekiranya sangat tidak mampu, kerajaan sediakan Rumah Rakyat Pahang (RRP) tapi perlu diteliti permohonannya,” katanya.
Menurutnya, Pegawai Daerah dan wakil rakyat memainkan peranan penting dalam menilai kesesuaian pemohon untuk menerima rumah RRP.
© New Straits Times Press (M) Bhd




