Pahang dijangka beralih Fasa 3 PPN – Wan Rosdy

Pahang dijangka beralih Fasa 3 PPN – Wan Rosdy

bhnews@bh.com.my

KUANTAN: Pahang dijangka beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam tempoh terdekat, kata Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata, ketika ini, Pahang sudah memenuhi tiga kriteria yang ditetapkan untuk ke fasa berkenaan.

Katanya, tiga kriteria yang sudah dipenuhi ialah jumlah jangkitan komuniti dan pesakit yang berada di unit rawatan rapi (ICU) rendah manakala individu lengkap vaksin mencapai kadar 40 peratus.

“Oleh itu, kita dalam proses untuk ke Fasa Tiga PPN dan dijangka beralih dalam tempoh terdekat.

“Kerajaan negeri juga dalam perancangan untuk membuka aktiviti pasar malam dan pasar pagi yang akan diumumkan dalam tempoh dua atau tiga hari lagi tetapi ia bergantung kepada laporan sebelum dibenarkan beroperasi,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2021 Peringkat Pahang di Perkarangan Kompleks Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff, Pengarah Jabatan Penerangan Pahang, Sabaruddin Yeop Hamza dan Datuk Bandar MBK, Datuk Hamdan Hussin.

Setakat ini, negeri yang sudah berada dalam Fasa 3 PPN ialah Perlis, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, Pahang akan menerima 1.74 juta dos vaksin dalam tempoh tiga bulan hingga Oktober ini.

Katanya, sebanyak 580,000 dos vaksin akan diterima bulan ini diikuti dua bulan seterusnya.

“Kita jangka kadar vaksinasi di Pahang akan mencapai sehingga 80 peratus Oktober ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top