Pahang harap Kerajaan Persekutuan beri kelulusan eksport pasir sungai

Pahang harap Kerajaan Persekutuan beri kelulusan eksport pasir sungai

am@hmetro.com.my

Kuantan: Kerajaan Pahang sentiasa komited memastikan setiap sumber hasil negeri diurus secara bertanggungjawab, lestari dan memberi pulangan terbaik kepada negeri dan rakyat.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sehubungan itu, bagi memastikan kutipan hasil negeri dapat terus ditingkatkan, kerajaan negeri mengharapkan kelulusan eksport pasir sungai kepada Pahang diberi pertimbangan sewajarnya oleh Kerajaan Persekutuan.

Berdasarkan anggaran semasa, katanya, stok pasir di Sungai Pahang berpotensi menjana hasil sekitar RM500 juta yang boleh dimanfaatkan untuk pelbagai keperluan pembangunan negeri.

“Ia termasuk pembangunan kawasan luar bandar, perumahan rakyat, pendidikan, kesihatan serta pelaksanaan pelbagai inisiatif kebajikan di bawah program Inisiatif Makmur Pahang.

“Pada masa sama, aktiviti pengorekan pasir yang dilaksanakan secara terkawal turut memberi manfaat kepada aspek pengurusan sungai dengan membantu mendalamkan sungai, melancarkan aliran air serta mengurangkan risiko banjir khususnya ketika musim tengkujuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi tujuan itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam bagi membincangkan perkara itu secara menyeluruh.

“Saya berharap perkara ini dapat diberi pertimbangan secara positif demi mencari penyelesaian yang terbaik serta memberi manfaat kepada semua pihak khususnya kepada negeri Pahang,” katanya.

Ketika bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan dan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini, semalam, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kekecewaan terhadap beberapa keputusan Kerajaan Persekutuan yang didakwa tidak memihak kepada hak dan kepentingan negeri itu.

Baginda bertitah, Kerajaan Persekutuan perlu lebih cakna terhadap hak negeri termasuk dalam soal hasil bumi, pelaksanaan projek serta bidang kuasa perundangan di negeri itu.

Susulan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, akan meminta Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menyediakan penjelasan menyeluruh berhubung peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada Pahang untuk dikemukakan kepada Tengku Mahkota Pahang.

Anwar dilaporkan berkata, Tengku Mahkota Pahang akan diberikan penerangan berkaitan kedudukan makroekonomi negara, tekanan ekonomi semasa dan isu pembaziran yang masih berlaku dalam pelbagai sektor.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top