sukanteam@hmetro.com.my
Kuantan: Skuad Piala Emas Raja-Raja (PERR) Pahang mahu mengulangi pencapaian skuad itu seperti yang dilakukan apabila muncul juara PERR pada 2018.
Justeru, ketua jurulatih skuad itu, Mohd Yazeed Hamzah akan memanfaatkan peluang yang dimiliki untuk menewaskan Terengganu pada aksi final pada 10 Disember depan.
“Bagi saya kelebihan beraksi di halaman sendiri iaitu di Stadium Darul Makmur diharap memberi tuah kepada Pahang.
“Pada masa sama, Stadium Darul Makmur baharu sahaja menyambut ulangtahun Jubli Emas Ke-50 stadium ini.
“Dengan pengalaman yang ada, saya akan memastikan Pahang akan beroleh kemenangan dan sekali gus muncul juara PERR musim ini,” katanya.
Pada 2018, Pahang menewaskan Terengganu 1-0 pada aksi final yang berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh.
Pada peringkat Kumpulan A, Pahang dan Terengganu diundi dalam kumpulan sama bersama PDRM dan Kuala Lumpur.
Peringkat kumpulan, Pahang menewaskan Terengganu 2-0.
Namun, Mohd Yazeed berkata, pada perlawanan peringkat kumpulan, kedua-dua pasukan menyenaraikan pemain simpanan selepas kedua-dua layak ke suku akhir.
Justeru, katanya, skuad itu tidak boleh memandang mudah lawan yang sudah pasti mahu menjulang piala berkenaan.
“Oleh itu, saya harap pemain saya dapat mempamerkan persembahan terbaik mereka,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd

