Pahang perlu diberi layanan, pertimbangan saksama – Tengku Hassanal

Pahang perlu diberi layanan, pertimbangan saksama – Tengku Hassanal

zatuliffah@hmetro.com.my

Kuantan: Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan pendirian supaya negeri itu diberikan layanan serta pertimbangan yang saksama.

Baginda turut mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

“Sehubungan itu, saya ingin menegaskan pendirian agar Negeri Pahang diberikan layanan serta pertimbangan yang saksama,” titah baginda dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan Istana AbdulAziz, Kuantan malam tadi.

Dalam kenyataan sama, Tengku Hassanal turut menitipkan kata-kata penuh makna menerusi rangkap pantun.

“Pisang emas dibawa belayar, Masak sebiji di atas peti, Hutang emas boleh dibayar, Hutang budi dibawa mati,” titah baginda.

Terdahulu, ketika bertitah demikian pada Majlis Perasmian Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pahang Ke-15, di Wisma Sri Pahang, baginda menzahirkan kekecewaan apabila usaha menambahkan hasil negeri seperti mengeksport pasir sungai tidak diluluskan kerajaan persekutuan.

Baginda bertitah, ini memandangkan Pahang memiliki sungai yang terpanjang di Semenanjung Malaysia dan sudah tentu banyak mendapan pasir yang perlu dikeluarkan agar pengaliran air sungai lancar.

Semalam, Anwar berkata, beliau akan meminta Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menyediakan penjelasan menyeluruh berhubung peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada Pahang untuk dikemukakan kepada Tengku Hassanal.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top