Pahang tekad menyerlah di Terengganu

Pahang tekad menyerlah di Terengganu

KESATUAN Ragbi Negeri Pahang (KRNP) meletakkan harapan tinggi untuk mara sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir dalam dua daripada tiga kategori yang bakal disertai pada Kejohanan Ragbi Tujuh Sebelah (7s) Kebangsaan 2025 yang akan berlangsung di Kuala Terengganu bermula Jumaat ini.

Presiden KRNP, Tok Muda Datuk Tun Putera Abdul Mubin Shah berkata, penyertaan kali ini bukan sekadar medan persaingan merebut kejuaraan, malah menjadi platform penting untuk menguji potensi pemain muda serta menilai kekuatan pasukan secara menyeluruh di peringkat kebangsaan.

“Objektif utama kami jelas, iaitu untuk meningkatkan prestasi pasukan menerusi pertandingan yang kompetitif dan berkualiti. Di samping itu, kejohanan ini turut menjadi medan terbaik untuk menguji serta membangunkan bakat muda, khususnya yang lahir daripada program pembangunan negeri,” katanya.

Beliau menambah, kejohanan ini juga berperanan penting dalam mempromosikan ragbi sebagai sukan berprestij di Pahang, selain memperkukuh semangat berpasukan dalam kalangan pemain, jurulatih, dan barisan pengurusan.

Mengulas lanjut, Tun Putera Abdul Mubin Shah berkata Pahang turut menyasarkan sekurang-kurangnya satu kejuaraan sebagai penanda aras terhadap kemajuan pasukan.

Selain itu, jelasnya, Pahang berhasrat dikenali sebagai antara pasukan terbaik negara dari aspek disiplin, taktikal dan prestasi di atas padang.

“Pada masa sama, kami juga berharap dapat mengenal pasti antara lima hingga lapan pemain berbakat yang berpotensi diserap ke dalam skuad pembangunan negeri, sekali gus memperkukuh pasukan bagi masa hadapan,” katanya.

Menurut beliau, pemilihan pemain bagi kejohanan ini dibuat berdasarkan prestasi semasa dalam kejohanan terbuka serta pemantauan rapi oleh jurulatih bertauliah.

“Beberapa pemain berbakat daripada program pembangunan akar umbi negeri turut diserap ke dalam pasukan bawah 21 tahun bagi memberi pendedahan,” katanya.

Beliau turut mengesahkan bahawa ujian kecergasan dan saringan akhir telah dijalankan dengan teliti bagi memilih 13 pemain terbaik untuk setiap kategori yang dipertandingkan.

“Pasukan juga telah menjalani beberapa siri perlawanan persahabatan yang bertujuan untuk menguji kombinasi pemain, adaptasi taktikal, serta ketahanan fizikal dalam situasi permainan sebenar,” katanya lagi.

Menariknya, penyertaan kali ini turut menyaksikan kemunculan beberapa muka baharu hasil langsung daripada program pembangunan akar umbi dan kejohanan tertutup negeri.

Tun Putera Abdul Mubin Shah menegaskan bahawa pemain-pemain baharu ini telah menunjukkan potensi besar dari aspek kemahiran asas, pemahaman taktikal, dan tahap kecergasan yang memberangsangkan.

“Mereka bukan sekadar mengisi kekosongan, sebaliknya dipilih melalui proses latihan pusat dan perlawanan ujian yang ketat.

“Ini merupakan sebahagian daripada usaha jangka panjang KRNP dengan kerjasama Majlis Sukan Pahang bagi membentuk pasukan pelapis yang lebih kompetitif dan mampan pada masa depan,” katanya.

Scroll to Top