am@hmetro.com.my
Ampang: Mendapan tanah akibat kebocoran paip air di Jalan Enggang, semalam dipercayai berpunca daripada kerja pembetungan membabitkan projek Indah Water Konsortium (IWK).
Terdahulu, rakaman video memaparkan sebuah jengkaut terbenam dalam mendapan tanah di lokasi berkenaan, tular di media sosial.
Susulan insiden berkenaan, Jalan Enggang berhampiran simpang Jalan AU2, Keramat terpaksa ditutup sepenuhnya sebagai langkah keselamatan sekali gus untuk siasatan dan pembaikan dijalankan.
Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Abdul Aziz Abd Jalal berkata, pihaknya bersama Air Selangor dan IWK sudah dimaklumkan sebaik kejadian berlaku.
“Air Selangor kemudiannya menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca air yang melimpah dan menyebabkan kerosakan pada struktur tanah di kawasan berkenaan,” katanya di Facebook.
Katanya, kerja pembaikan paip oleh Air Selangor berjaya disiapkan pada pagi ini dan lebih awal daripada jangkaan asal sekitar jam 6 pagi tadi.
Menurutnya, susulan itu, kerja ‘reinstatement’ jalan akan dilakukan bagi memulihkan keadaan Jalan Enggang sebelum ia dibuka semula kepada pengguna.
“Alhamdulillah, pembaikan sudah diselesaikan dan bekalan air di kawasan terjejas kini kembali pulih.
“Orang ramai dinasihatkan agar terus berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan sepanjang tempoh kerja pembaikan dijalankan. Maklumat lanjut berhubung perkembangan situasi akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




