Paip lain pula bocor, penyaluran air dijadualkan semula esok – PBAPP

Paip lain pula bocor, penyaluran air dijadualkan semula esok – PBAPP

am@hmetro.com.my

Butterworth : Bekalan air untuk 118,000 pengguna terjejas di Seberang Perai Tengah dan Selatan yang sepatutnya disalurkan secara berperingkat mulai jam 10 malam tadi terpaksa ditangguhkan kepada jam 12 tengahari esok.

Ia susulan berlaku pula kebocoran bahagian saluran paip utama sepanjang 1.2 meter di Jalan Pengkalan Tambang berhampiran Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, di sini pada jam 8 malam tadi.

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP Datuk K Pathmanathan, berkata saluran paip itu pecah apabila kakitangan berusaha untuk

meminimumkan kebocoran dengan mengetatkan bolt.

“Bahagian saluran paip pecah ini adalah sebahagian daripada saluran paip air terawat

sepanjang 1.2m menuju ke bahagian saluran paip baharu yang disambungkan di

hadapan Politeknik Seberang Perai di Permatang Pauh di Seberang Perai Tengah yang telah siap hari ini.

“Berikutan insiden ini, PBAPP tidak dapat mengepam air dari LRA Sungai Dua ke

Permatang Pauh tanpa membaiki bahagian saluran paip Jalan Pengkalan Tambang

yang pecah.

“Sehubungan itu, PBAPP menjadualkan semula normalisasi perkhidmatan

bekalan air untuk 118,000 pengguna di Seberang Perai Tengah dan Selatan kepada jam 12 tengah hari esok,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Pathmanathan berkata, pihaknya memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku.

“Kerja-kerja pembaikan kecemasan sedang dijalankan dan kita sedang berusaha dengan bekerja semalaman untuk membaiki saluran paip bocor itu,” katanya.

Terdahulu media melaporkan PBAPP menjangkakan bahawa bekalan air kepada pengguna di daerah Seberang Perai Tengah dan Selatan yang terjejas susulan insiden kebocoran paip di Permatang Pauh, dekat sini dapat disalurkan secara berperingkat mulai jam 10 malam ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top