Paip rosak di Jalan Sultan Ismail akan dibaiki secepat mungkin

Paip rosak di Jalan Sultan Ismail akan dibaiki secepat mungkin

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kerosakan paip dan jalan susulan insiden paip pecah di Jalan Sultan Ismail, di sini, hari ini akan dibaiki secepat mungkin.

Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan hari ini, menjelaskan kejadian itu bukan berpunca daripada mendapan tanah sebaliknya kerosakan akibat tekanan air yang tinggi di dalam paip air berkenaan.

“Secara amnya, kejadian paip pecah boleh menyebabkan kerosakan jalan di sekitar kawasan terbabit kerana tekanan air yang tinggi dalam sistem paip.

“Tindakan segera untuk kerja pembaikan paip sudah dilaksanakan dan siap jam 5 petang hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama Air Selangor memaklumkan kerja-kerja penurapan dan pembaikan jalan sedang dijalankan.

Katanya, segala proses pembaikan dijangka selesesai dalam tempoh 24 jam namun ianya bergantung kepada keadaan semasa cuaca.

“Sebarang perkembangan lanjut berkenaan kejadian ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat berhubung Air Selangor menerusi saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top