Beijing: Media sosial China, baru-baru ini, gempar dengan tindakan pemandu Porsche yang melarikan diri selepas mengisi petrol berharga 500 yuan (kira-kira RM305) di sebuah stesen minyak.
South China Morning Post (SCMP) melaporkan, perbuatan lelaki itu didedahkan dalam talian oleh seorang kakitangan di sebuah stesen minyak di lebuh raya antara wilayah Hubei dan Shaanxi di tengah China, selepas insiden pada 12 Mac itu.
Menurut rakaman video kamera litar tertutup (CCTV), lelaki itu memandu Porsche hitam bernilai AS$75,000 (kira-kira RM335,550) tanpa nombor plat, mengisi petrol dengan sepatutnya perlu membayar 502.29 yuan (kira-kira RM307).
Kakitangan wanita bernama Song, yang satu-satunya ada di tempat kerja pada hari kejadian, mengalihkan tiang penghadang di hadapan kereta lelaki itu.
Wanita itu terkejut melihat lelaki itu masuk ke dalam kereta dan memandu pergi tanpa membuat pembayaran.
Akibatnya, Song terpaksa menanggung sendiri bayaran kerana mereka dikehendaki menjelaskan semua bil sebelum pertukaran syif.
Song berkata, dia menerima 2,800 yuan (kira-kira RM1,710) bulan lalu, dan mempunyai dua anak perempuan yang sudah bersekolah untuk ditanggung.
Pada 14 Mac lalau, pengurus stesen minyak memberitahu Fengmian News bahawa syarikat itu sudah membuat pembayaran balik kepada Song.
Song memuat naik video itu dalam talian untuk mencari lelaki itu dan meluahkan kemarahannya.
Empat hari selepas kejadian, polis berjaya mengesan lelaki itu di wilayah Shaanxi di barat laut China.
Lelaki yang tidak dikenali itu cuba melarikan diri daripada hukuman dengan meminta maaf kepada polis dan memindahkan wang ke stesen minyak, secara dalam talian.
Bagaimanapun, polis berkeras memanggil lelaki itu datang ke balai.
Difahamkan, siasatan terhadap lelaki itu masih dijalankan.
© New Straits Times Press (M) Bhd