nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penguatkuasaan undang-undang pemakaian tali pinggang keledar bagi penumpang bas bukan untuk menghukum, sebaliknya bagi melindungi nyawa.
Presiden Malaysian Road and Transportation Safety Association (MRTSA), Md Hairolazaman Muhamed Nor berkata, ia adalah aspek penting dalam usaha mengurangkan kecederaan serius dan kematian membabitkan kemalangan jalan raya.
“Memang terdapat pandangan bahawa penguatkuasaan serta-merta dengan kompaun terhadap penumpang dianggap ‘terlalu keras’.
“Namun, isu keselamatan adalah tanggungjawab semua pihak. Justeru, undang-undang ini bukan untuk menghukum, tetapi bagi melindungi nyawa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, pendekatan mendidik masyarakat sebelum menghukum adalah lebih efektif dari segi penerimaan awam.
Menurutnya, tindakan kompaun hanya wajar dikenakan sekiranya penumpang bas sudah diberi makluman yang jelas, namun mereka tetap ingkar.
“Sebelum penguatkuasaan ketat dilakukan, kerajaan perlu melaksanakan kempen kesedaran secara menyeluruh kepada penumpang dan pengusaha bas.
“Kempen itu boleh dilakukan menerusi media sosial, iklan televisyen, papan tanda di terminal bas dan pengumuman dalam bas sebelum perjalanan bermula,” katanya.
Katanya, syarikat bas perlu diberi tanggungjawab untuk memastikan semua tempat duduk dilengkapi tali pinggang keledar dan berada dalam keadaan baik.
“Pemandu atau pembantu pemandu digalakkan memberi peringatan kepada semua penumpang sebelum bas bergerak.
“Di peringkat awal penguatkuasaan, ia boleh dimulakan dengan amaran serta pendidikan dan bukannya terus mengenakan kompaun.
“Selepas tempoh tertentu, barulah kompaun dikenakan terhadap penumpang bas yang enggan mematuhi undang-undang itu,” katanya.
Katanya, pemakaian tali pinggang keledar sudah terbukti mampu mengurangkan risiko maut sehingga 50 peratus dalam kemalangan.
“Jangan tunggu kemalangan berlaku, baru kita menyesal. Pakai tali pinggang keledar bukan kerana takut saman, tetapi kerana kita sayang nyawa sendiri.
“Walaupun kita hanya penumpang bas, keselamatan diri adalah tanggungjawab peribadi.
“Jangan bergantung sepenuhnya kepada pemandu atau syarikat bas, sebaliknya ambil langkah proaktif untuk melindungi diri sendiri,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan semua pemandu dan penumpang bas ekspres serta bas persiaran diwajibkan memakai tali pinggang keledar berkuat kuasa 1 Julai lalu.
Penguatkuasaan itu terpakai bagi bas yang dibina selepas Januari 2020, manakala bas yang dibina sebelum itu diberi masa untuk membuat pemasangan tali pinggang keledar.
© New Straits Times Press (M) Bhd