Pakar arkeologi dinobat Tokoh Akademik Negara 2025

Pakar arkeologi dinobat Tokoh Akademik Negara 2025

lokman.khairi@hmetro.com.my

Subang Jaya: Pakar Arkeologi, Prof Emeritus Datin Dr Siti Zuraina Abdul Majid dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Negara 2025, hari ini.

Anugerah disampaikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada majlis Anugerah Akademik Negara ke-16 (AAN16) yang berlangsung di sebuah hotel, di sini.

Dr Siti Zuraina dari Universiti Sains Malaysia (USM) ialah saintis ulung yang mana penemuan saintifik beliau bermula sejak akhir 1970-an merevolusikan pemahaman prasejarah Malaysia melalui penyelidikan di Lembah Lenggong, Perak dan Niah, Sarawak.

Beliau menemui teknologi alat batu paleolitik tertua di Asia Tenggara serta perluasan budaya gangsa dari Thailand ke Malaysia.

Tokoh ini juga menemui rangka Perak Man dengan kecacatan genetik 10,000 tahun lalu, sekali gus memberikan sumbangan penting kepada sejarah sains perubatan dan genetik.

Hasil sumbangan beliau, Lembah Lenggong diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2012.

Beliau juga mengesahkan peranan Lenggong sebagai laluan migrasi manusia dari Afrika ke Australia yang menyumbang kepada teori sejarah manusia global.

Selain itu, beliau juga sudah menerima pelbagai pengiktirafan antarabangsa termasuk Women at 50 Yale Award dan Anugerah Merdeka 2022.

Kini beliau terus aktif sebagai pakar rujuk warisan dan akademik, meneruskan legasi penyelidikan dan kepimpinan global.

Di samping itu, seramai lapan akademia lain dinobatkan sebagai penerima AAN16 termasuk Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal untuk kategori Bidang Sains yang dimenangi Prof Madya Dr Gan Wee Chen dari Universiti Xiamen Malaysia.

Sementara itu, Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal untuk kategori Bidang Sains Sosial dan Sastera dimenangi Prof Madya Dr See Kok Fong dari USM.

Bagi Anugerah Penerbitan Buku pula dimenangi Prof Madya Dr Norhayati Mohd Noor dari USM, manakala Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk dimenangi Prof Madya Dr Muhammad Firdaus Akbar Jalaludin Khan dari USM.

Anugerah Seni dan Kreativiti dimenangi Ts Dr Mohamad Fitri Mohamad Haris dari Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi Kelompok Seni Persembahan.

Anugerah Pengajaran pula dimenangi oleh Dr Manraj Singh Cheema dari Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi Kelompok Sains Kesihatan, Prof Dr Haslinda Ibrahim dari UUM (Kelompok Sains Tulen) dan Dr Rahimah Jamaluddin dari UPM (Kelompok Sastera Gunaan dan Sains Sosial Gunaan).

Penerima Anugerah Tokoh Akademik Negara menerima hadiah wang tunai RM200,000, trofi dan sijil, manakala penerima kategori lain pula menerima wang tunai RM50,000, trofi dan sijil.

AAN yang diwujudkan sejak 2006 adalah suatu usaha berterusan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk mengiktiraf dan menghargai ahli akademik negara yang memartabatkan nama Malaysia di persada dunia dalam pelbagai bidang ilmu.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr Anesee Ibrahim dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Azlinda Azman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top