am@hmetro.com.my
Nilai: Suspek yang disyaki terbabit dalam insiden letupan bom buatan sendiri di parkir kereta berhampiran Desa Palma, Nilai, 22 Disember lalu, akan dituduh di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban, esok.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya berkata, suspek lelaki berusia 63 tahun itu bakal didakwa atas lima pertuduhan membabitkan peranti letupan buatan sendiri (IED).
“Tiga pertuduhan mengikut Seksyen 3 Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958, kerana didapati memiliki bahan letupan yang boleh menyebabkan kecederaan.
“Ia masing-masing di sebuah unit kediaman di Apartment Desa Palma, di sebuah kenderaan jenis Proton Wira yang diparkir di kawasan Star Valley dan di tepi jalan utama Kampung Batang Benar, Mantin,” katanya tadi.
Jelasnya, suspek turut akan didakwa satu pertuduhan mengikut Seksyen 4 Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958, kerana dengan niat jahat menggunakan IED di kawasan parkir Apartment Desa Palma, di sini.
“Manakala satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan, kerana melakukan khianat dengan menggunakan bahan letupan sehingga menyebabkan kerosakan ke atas sebuah kenderaan awam.
“Pertuduhan terhadap suspek akan dibacakan di HTJ memandangkan suspek masih menerima rawatan perubatan,” katanya.
Tambah beliau, kes itu diklasifikasikan sebagai kes berprofil keselamatan tinggi, dan pihak polis mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan awam sentiasa terjamin.
“Hasil siasatan mendapati kejadian ini membabitkan penggunaan dan pemilikan bahan letupan berbahaya yang menimbulkan ancaman serius terhadap keselamatan awam serta menyebabkan kerosakan harta benda.
“Pihak polis menjalankan siasatan menyeluruh membabitkan pelbagai elemen termasuk rakaman CCTV, keterangan saksi awam, pemeriksaan forensik dan tindakan Unit Pemusnah Bom (UPB) bagi memastikan keselamatan orang awam terjamin,” katanya.
Justeru katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius sebarang perbuatan yang membabitkan bahan letupan dan ancaman terhadap keselamatan awam.
“PDRM menegaskan bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang terbabit dalam aktiviti sedemikian.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses perundangan dan diminta untuk menyalurkan maklumat berkaitan kejadian jenayah kepada pihak polis melalui saluran rasmi.
“Pihak polis juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada orang awam atas kerjasama yang diberikan sepanjang siasatan dijalankan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




