Pakar ekonomi saran KWSP jadi lebih daripada sekadar simpanan tetap

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp
Buat masa ini, tiada jaminan bahawa simpanan seseorang pekerja cukup bagi tempoh persaraannya, kata Barjoyai Bardai.

PETALING JAYA: Seorang pakar ekonomi menyeru agar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibaik pulih supaya ia bukan sekadar menjadi tempat “menyimpan dan mengembangkan” simpanan bagi persaraan.

Kata Barjoyai Bardai daripada Universiti Tun Abdul Razak kepada FMT, buat masa ini, tiada jaminan bahawa simpanan seseorang pekerja cukup bagi tempoh persaraannya.

Beliau menganggap laporan bahawa satu pertiga daripada bilangan pencarum KWSP telah mengosongkan akaun mereka sebagai “membimbangkan”, dan inilah sebabnya mengapa perancangan baik pulih diperlukan.

Baru-baru ini, bekas ketua pegawai eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias, mendedahkan 30% daripada bilangan pencarum KWSP telah mengeluarkan semua simpanan mereka, dengan segelintir hanya meninggalkan RM100 dalam akaun mereka.

Barjoyai Bardai.

Barjoyai berkata, tindakan membenarkan pencarum mengeluarkan simpanan KWSP mereka untuk menghadapi wabak Covid-19 tidak membantu, kerana pasti ada yang akan mengeluarkan lebih banyak daripada yang mereka perlukan.

“KWSP perlu berfungsi seperti dana persaraan sebenar, bukannya seolah-olah bank yang menawarkan simpanan tetap,” kata beliau.

Ia sepatutnya membantu orang ramai merancang untuk persaraan dengan mengambil kira tahap gaji dan apa yang mereka perlukan untuk bersara, tambah beliau.

“Pada saya, pembaharuan paling penting adalah untuk KWSP mempunyai fungsi bertempoh tetap (endowment),” kata beliau.

“Berbanding membenarkan pencarum mengosongkan akaun selepas persaraan, mereka boleh dibayar jumlah tertentu setiap bulan seperti gaji.”

Robert Foo.

Kata beliau, ini akan lebih memastikan kelestarian dana, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah.

Sementara itu, perancang kewangan Robert Foo berkata, sekiranya pencarum KWSP bergantung kepada simpanan mereka sekarang, ia sebenarnya “gejala” kepada masalah yang lebih besar.

“Rakyat taksub mencari penyelesaian jangka pendek tanpa memikirkan matlamat jangka panjang,” kata beliau.

“Mereka yang menggunakan semua simpanan mereka sekarang sebenarnya memang tiada matlamat jangka panjang.”

Dalam hal ini, kata beliau, tidak banyak dapat dilakukan KWSP untuk membantu pencarum bertahan menjangkaui tempoh wabak ini.