Pakar ingatkan bahaya zarah halus jerebu kepada kesihatan

nurul_husna@mediaprima.com my

Kuala Lumpur: Individu yang kelihatan sihat dan cergas tetap berdepan risiko tinggi diserang angin ahmar atau serangan jantung secara tiba-tiba akibat pendedahan kepada cuaca jerebu.

​Pakar Perunding Kardiologi Pusat Perubatan Parkcity, Dr Chong Yoon-Sin berkata, jerebu mengandungi zarah mikroskopik halus berukuran kurang 2.5 mikron yang sangat berbahaya.

​”Zarah ini cukup kecil untuk melepasi sistem penapisan paru-paru dan meresap terus ke dalam saluran darah.

​”Apabila memasuki sistem pendarahan, ia menebal dan menyebabkan keradangan serta meningkatkan tekanan darah,” katanya.

​Menurutnya, keadaan itu meningkatkan risiko aritmia atau degupan jantung tidak sekata dan serangan jantung mendadak.

​Katanya, tahap risiko bergantung kepada tindak balas badan individu dan tiada tempoh pendedahan khusus yang dianggap selamat.

​”Golongan paling berisiko ialah warga tua, pesakit jantung, pesakit paru-paru, pesakit kencing manis, ibu hamil dan kanak-kanak,” katanya.

​Menyentuh aktiviti fizikal, beliau menasihatkan orang ramai mengurangkan senaman berat di luar rumah seperti berjoging dan berbasikal.

​”Aktiviti kardio menyebabkan pernafasan menjadi lebih laju dan dalam, sekali gus menyedut lebih banyak zarah debu ke dalam darah,” katanya.

​Dr Yoon-Sin turut mengingatkan orang ramai supaya menyemak Indeks Pencemaran Udara (IPU) dan mengehadkan aktiviti luar jika bacaan melebihi 100.

​”Sentiasa pastikan pintu dan tingkap rumah ditutup rapat bagi mengelakkan udara tercemar masuk ke dalam kediaman.

​”Penggunaan pelitup muka yang sesuai amat digalakkan terutamanya bagi kumpulan berisiko tinggi apabila perlu keluar,” katanya.

​Beliau menambah, orang ramai perlu minum air secukupnya untuk menyokong fungsi vaskular serta mengambil makanan kaya antioksidan.

​”Kurang hidrasi boleh memburukkan lagi keadaan fizikal seseorang ketika cuaca panas dan berjerebu ini.

​”Jangan abaikan gejala awal seperti dada ketat, sesak nafas atau kelesuan luar biasa dan segera dapatkan rawatan kecemasan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top