Pakar sokong perluasan peranan Rela ke sempadan negara

Pakar sokong perluasan peranan Rela ke sempadan negara

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sasaran Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memperluaskan bidang tugas Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) termasuk di kawasan sensitif seperti sempadan dilihat dapat membantu agensi penguatkuasaan lain dalam menjaga keselamatan negara.

Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, Rela adalah antara ‘tulang belakang’ dalam agensi kawalan keselamatan negara.

“Tugasan Rela perlu dilihat secara menyeluruh yang bukan sahaja untuk ditugaskan pada majlis keramaian, kenduri kahwin serta kawalan lalu lintas.

“Malah, agensi ini terbabit secara langsung dalam penugasan bersama pasukan penguatkuasaan lain seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan lain-lain.

“Ini selaras dalam Akta Pasukan Sukarelawan Malaysia 2012 (Akta 752) yang menyatakan penubuhan Rela adalah bagi membantu agensi penguatkuasaan lain meskipun ia tidak membabitkan elemen keselamatan dalam negara di bawah KDN,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Noor Nirwandy berkata, tugas kawalan keselamatan di kawasan sempadan negara oleh pasukan Rela boleh dilakukan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Pasukan Gerakan Am (PGA).

“Bagaimanapun, anggota Rela perlu dipersiapkan dengan latihan termasuk perang saraf bagi meningkatkan kebolehan mereka dalam penugasan yang lebih mencabar seperti kawalan sempadan.

“Selain itu, sistem dalam pasukan itu juga perlu dikemas kini supaya ia tidak mudah dimanipulasi dan dipergunakan oleh pihak berkepentingan sekali gus boleh menjatuhkan integriti dan kecekapan anggota Rela,” katanya.

Semalam, media melaporkan KDN menyasarkan anjakan peranan Rela bagi memperluas fungsi termasuk aspek kawalan keselamatan di kawasan sensitif seperti sempadan negara.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, langkah itu selaras usaha memperkukuh keupayaan RELA supaya tidak hanya tertumpu kepada tugasan konvensional seperti membantu semasa bencana, majlis keramaian atau kawalan lalu lintas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top