Riyadh: Arab Saudi pada Rabu menjadi tuan rumah mesyuarat pertama ‘pakatan antarabangsa’ baharu untuk mendesak penubuhan negara Palestin.
Didedahkan pada bulan lalu di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ‘Perikatan Antarabangsa untuk Melaksanakan Penyelesaian Dua Negara’ itu menghimpunkan negara dari Timur Tengah, Eropah dan lain-lain.
Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan berkata, hampir 90 ‘negara dan organisasi antarabangsa’ mengambil bahagian dalam mesyuarat dua hari di Riyadh.
“Satu pembunuhan beramai-ramai sedang berlaku dengan matlamat untuk mengusir rakyat Palestin dari tanah mereka, yang ditolak oleh Arab Saudi,” katanya sambil menyifatkan situasi kemanusiaan sebagai ‘malapetaka’ dan mengecam ‘sekatan sepenuhnya’ di utara Gaza.
Mesyuarat di Riyadh itu dijangka memberi tumpuan kepada akses kemanusiaan ketika agensi PBB untuk pelarian Palestin menghadapi masalah, dan langkah-langkah untuk memajukan penyelesaian dua negara, kata diplomat.
Kesatuan Eropah (EU) akan diwakili wakil khas untuk proses damai Timur Tengah, Sven Koopmans.
Amerika Syarikat (AS) yang juga penyokong utama tentera Israel, menghantar Hady Amr, wakil khas Jabatan Negara bagi Hal Ehwal Palestin.
Perang Gaza menghidupkan semula perbincangan mengenai ‘penyelesaian dua negara’ yang mana Israel dan Palestin akan hidup dalam keadaan aman bersebelahan, walaupun penganalisis berkata matlamat itu kelihatan lebih sukar dicapai berbanding sebelum ini.
Kerajaan sayap kanan Israel pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu tetap menentang keras penubuhan negara Palestin.
Arab Saudi, pengeksport minyak terbesar dunia dan penjaga dua tapak suci Islam, menghentikan perbincangan yang diketengahkan AS untuk mengiktiraf Israel selepas perang Gaza meletus tahun lalu antara Hamas dan Israel.
Pada September, pemerintah de facto kerajaan, Putera Mahkota Mohammed bin Salman berkata, ‘negara Palestin merdeka’ adalah syarat untuk normalisasi hubungan dengan Israel.
Putera Faisal mengulangi pendirian itu pada Rabu lalu.
Ireland, Norway dan Sepanyol mengumumkan pengiktirafan mereka terhadap negara Palestin pada Mei lalu, mendorong kemarahan daripada Israel.
Slovenia tidak lama kemudian menyertai mereka, menjadikan jumlah negara yang mengiktiraf negara Palestin kepada 146 daripada 193 negara anggota PBB.
© New Straits Times Press (M) Bhd




