Pakatan OPEC+ berhasrat tingkatkan pengeluaran minyak sehingga 411,000 tong sehari

Pakatan OPEC+ berhasrat tingkatkan pengeluaran minyak sehingga 411,000 tong sehari

Riyadh: Pakatan OPEC+ memutuskan untuk meningkatkan pengeluaran minyak sebanyak 411,000 tong sehari pada Julai 2025, berbanding paras pengeluaran yang ditetapkan untuk Jun, satu pelarasan bersamaan tiga kenaikan bulanan, lapor Agensi Berita Qatar (QNA).

Keputusan itu dicapai susulan mesyuarat maya yang diadakan oleh lapan negara anggota OPEC+, iaitu Arab Saudi, Rusia, Iraq, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, Kazakhstan, Algeria dan Oman bagi meneliti perkembangan pasaran minyak serta menyusun semula unjuran pengeluaran akan datang selaras dengan perubahan permintaan global.

Negara-negara itu mengulangi komitmen mereka terhadap Deklarasi Kerjasama, termasuk pelarasan pengeluaran secara sukarela tambahan yang dipersetujui semasa Mesyuarat Ke-53 Jawatankuasa Pemantauan Bersama Menteri (JMMC) pada 3 April 2024.

Mereka turut menegaskan keazaman berterusan untuk mengimbangi lebihan jumlah pengeluaran yang terkumpul sejak Januari 2024.

Mesyuarat bulanan akan terus diadakan bagi memantau dinamik pasaran, menilai tahap pematuhan dan memastikan pelaksanaan pelan pampasan berjalan lancar.

Mesyuarat seterusnya dijadualkan pada 6 Julai bagi menetapkan paras pengeluaran bagi Ogos.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top