Pakistan dakwa India lancar serangan berpandu ke 3 pangkalan udaranya

Pakistan dakwa India lancar serangan berpandu ke 3 pangkalan udaranya

Islamabad: Pakistan mendakwa India melancarkan serangan peluru berpandu ke arah tiga pangkalan udara termasuk sebuah daripadanya terletak berhampiran ibu negara Pakistan, awal pagi Sabtu.

Bagaimanapun, menurut tentera Pakistan, sistem pertahanan udara negara itu berjaya memintas kebanyakan peluru berpandu terbabit.

Jurucakap tentera Pakistan, Leftenan Jeneral Ahmed Sharif Chaudhry Nur Khan mengesahkan, Pangkalan Mureed dan Shorkot menjadi sasaran serangan India.

“India melancarkan peluru berpandu dari udara menggunakan pesawat mereka.

“Hanya sebahagian kecil peluru berpandu melepasi pertahanan udara dan berdasarkan penilaian awal, tiada aset ketenteraan yang mengalami kerosakan,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan lewat malam di televisyen.

Salah satu pangkalan udara yang diserang terletak di bandar tentera Rawalpindi, bersempadan dengan Islamabad.

Dua lagi terletak di wilayah Punjab, Pakistan Timur, yang bersempadan dengan India.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar Negeri India, tidak memberikan sebarang kenyataan balas mengenai dakwaan itu.

Sejak sekian lama, kedua-dua negara berselisih pendapat mengenai wilayah Kashmir, yang kini terbabit dalam pertempuran setiap hari sejak Rabu lalu, apabila India melancarkan serangan ke wilayah Pakistan terhadap apa yang didakwanya sebagai pangkalan militan.

India sebelum ini menyatakan, serangan pada Rabu lalu tindak balas terhadap serangan ke atas pelancong Hindu di Kashmir, India, pada bulan lalu.

Pakistan pula menafikan sekeras-kerasnya pembabitannya dalam serangan terhadap pelancong itu.

Sejak Rabu, kedua-dua negara melancarkan serangan merentasi sempadan termasuk serangan artileri, peluru berpandu dan penggunaan dron ke dalam ruang udara masing-masing.

Kebanyakan pertempuran pada Jumaat berlaku di Kashmir yang ditadbir India serta negeri berdekatan.

Menurut anggaran korban yang diumumkan kedua-dua pihak, sekurang-kurangnya 48 orang terkorban sejak Rabu, namun angka itu masih belum mendapat pengesahan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top