Khost, Afghanistan: Serangan Pakistan membunuh sekurang-kurangnya 12 orang di Afghanistan berhampiran sempadan mereka, kata pegawai kerajaan Afghanistan dan sumber tempatan pada Rabu.
Ia serangan yang paling dahsyat dalam beberapa minggu dan selepas tempoh yang agak tenang.
“Malam tadi, tentera Pakistan sekali lagi menceroboh ruang udara Afghanistan dan mengebom rumah awam di wilayah Kunar, Khost dan Paktika,” tulis jurucakap kerajaan Afghanistan, Zabihullah Mujahid di X.
“Akibat serangan ini, 11 kanak-kanak, seorang wanita, dan seorang lelaki tua terbunuh.”
Seorang pegawai di wilayah Khost yang meminta namanya dirahsiakan memberitahu AFP sebuah rumah di daerah Spera, diserang, menyebabkan sembilan orang terbunuh dan dan mencederakan 10 yang lain.
Di wilayah jiran Paktika, dua penduduk berkata, serangan berasingan membunuh tiga orang awam di daerah Barmal.
Serangan itu mengenai sebuah rumah, dan mereka yang terbunuh adalah kanak-kanak, kata salah seorang penduduk.
Tentera Pakistan dan pejabat perdana menteri tidak segera memberi maklum balas terhadap permintaan AFP untuk memberi komen, tetapi Islamabad berulang kali mengatakan serangan ke atas Afghanistan ditujukan kepada pejuang yang melakukan serangan ke atas wilayahnya dan ia tidak sengaja menyasarkan orang awam.
Serangan itu adalah yang paling dahsyat dalam beberapa minggu dan menyusuli tempoh tenang di sempadan selepas konflik antara kedua-dua negara meletus pada akhir Februari lalu.
Peningkatan menyaksikan pertempuran sengit di sepanjang sempadan dan serangan udara Pakistan yang belum pernah terjadi sebelumnya ke atas bandar-bandar Afghanistan – termasuk ibu kota, Kabul, dan selatan Kandahar, tempat pemimpin tertinggi itu berpangkalan.
Sekurang-kurangnya 372 orang awam Afghanistan terbunuh dan 397 yang lain cedera dalam konflik itu dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang diterbitkan bulan lalu.
Hubungan antara Pakistan dan Afghanistan tegang sejak Taliban mengambil alih kuasa buat kali kedua pada 2021.
Isu keselamatan telah menjadi titik pertikaian, terutamanya tuntutan Pakistan agar Afghanistan mengekang kumpulan Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP).
Islamabad menuduh kerajaan Taliban melindungi militan di sebalik peningkatan serangan, terutamanya TTP, yang melancarkan kempen ganas terhadap Pakistan selama bertahun-tahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd




