Istanbul: Tentera Pakistan melancarkan serangan udara awal pagi Jumaat di beberapa bahagian Afghanistan, termasuk ibu negara Kabul serta wilayah Kandahar dan Paktia, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik jurucakap kerajaan Afghanistan dan sumber tempatan.
Dalam satu kenyataan, pihak berkuasa Afghanistan memaklumkan bahawa pasukan Pakistan melaksanakan serangan udara yang menyasarkan “kawasan tertentu” di Kabul, Kandahar dan Paktia.
Serangan itu disahkan oleh seorang jurucakap kerajaan, yang menambah bahawa tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
“Tentera Pakistan melancarkan serangan udara di beberapa kawasan di Kabul, Kandahar dan Paktia. Mujur, tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.
Beberapa letupan berskala besar dilaporkan berlaku di Kabul, menurut sumber tempatan.
Maklumat yang diperoleh wartawan Anadolu daripada sumber di ibu negara menunjukkan beberapa letupan berlaku di pusat bandar sekitar 2.30 pagi waktu tempatan (2200GMT Khamis).
Anadolu tidak dapat mengesahkan secara bebas dakwaan mengenai kemalangan jiwa yang dibuat oleh kedua-dua pihak.
Menurut penyiar milik kerajaan Pakistan, PTV News, yang memetik sumber keselamatan, tentera Pakistan memusnahkan beberapa kemudahan ketenteraan di Kabul, Kandahar dan Paktia.
Sumber keselamatan turut memaklumkan bahawa sebuah depot peluru dan pangkalan logistik dimusnahkan dalam serangan udara di Kandahar.
Sementara itu, menurut laporan Tolo News, Kementerian Pertahanan Afghanistan berkata operasi balas oleh pasukan Afghanistan yang menyasarkan kedudukan Pakistan di sepanjang Garisan Durand berakhir pada tengah malam waktu tempatan.
Mengesahkan tindakan ketenteraan berterusan, jurucakap Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif bagi media asing, Mosharraf Zaidi, berkata serangan balas Pakistan terhadap sasaran di Afghanistan masih diteruskan setakat awal pagi Jumaat.
Beliau berkata 133 anggota tentera Afghanistan terbunuh dan lebih 200 cedera, dengan angka korban dijangka meningkat susulan serangan terhadap sasaran ketenteraan di Kabul, Paktia dan Kandahar.
Zaidi menambah 27 pos tentera Afghanistan dimusnahkan dan sembilan lagi dirampas, manakala pelbagai kemudahan ketenteraan termasuk dua ibu pejabat kor, tiga ibu pejabat briged, depot peluru, pangkalan logistik serta ibu pejabat batalion dan sektor, selain lebih 80 kereta kebal, sistem artileri dan kenderaan berperisai turut dimusnahkan.
Beliau berkata “tindak balas segera dan berkesan” Pakistan terhadap pencerobohan masih diteruskan.
Terdahulu, Kabul memaklumkan lapan anggota tentera Afghanistan terbunuh dan turut mendakwa bahawa “55 anggota tentera Pakistan terbunuh” dalam pertempuran sempadan itu.
Serangan itu berlaku di tengah-tengah ketegangan rentas sempadan yang semakin memuncak antara Kabul dan Islamabad.
Awal Khamis, sekurang-kurangnya lapan anggota tentera Afghanistan dan dua anggota tentera Pakistan terbunuh dalam pertempuran sempadan selama empat jam yang disifatkan pegawai Afghanistan sebagai “operasi balas.”
Peningkatan ketegangan itu menyusuli serangan udara Pakistan minggu lalu yang menurut Islamabad mengorbankan 70 “pengganas,” manakala pegawai Afghanistan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan kematian orang awam, dakwaan yang dinafikan Pakistan.
Hubungan antara kedua-dua negara merosot sejak beberapa bulan kebelakangan ini apabila Pakistan menuduh militan beroperasi dari wilayah Afghanistan, tuduhan yang ditolak Kabul, walaupun hubungan diplomatik masih diteruskan dalam usaha meredakan ketegangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



