ISLAMABAD: Kerajaan Pakistan pada Khamis menaikkan harga bahan api secara drastik sebagai tindak balas terhadap kenaikan harga tenaga global yang berpunca daripada perang di Iran, kata menteri petroleum negara itu dalam sidang media.
Harga baru itu menunjukkan kenaikan 42.7 peratus bagi petrol dan 54.9 peratus bagi diesel.
“Keputusan yang dibuat hari ini (semalam) adalah, selaras dengan pasaran antarabangsa, selepas kenaikan harga petrol. Harga baru (petrol) akan menjadi 458.40 rupee (RM6.63) setiap liter, berkuat kuasa esok (Jumaat),” kata menteri Ali Pervaiz Malik.
Bagi diesel yang amat penting untuk pekerja dan pengangkutan awam harga ditetapkan pada 520.35 rupee Pakistan (RM7.53),” tambah beliau.
“Kerajaan telah melakukan yang terbaik, mengambil kira bajet, untuk memberi perlindungan kepada rakyat,” tetapi terpaksa menyampaikan kenaikan harga ini kerana sumber adalah terhad dan mereka tidak melihat tanda-tanda berakhirnya perang ini, kata Pervaiz.
Perang AS-Israel terhadap Iran, yang bermula pada 28 Februari, telah mencetuskan konflik di Asia Barat, dengan serangan balas Iran mengenai sasaran di seluruh Teluk dan hampir membekukan penghantaran melalui Selat Hormuz.
Laluan air penting ini biasanya menyaksikan seperlima bekalan tenaga dunia melaluiinya, sebahagian besarnya menuju ke Asia.
Pakistan sangat bergantung kepada minyak dan gas, dan sebelum ini telah menaikkan harga sebanyak 20 peratus pada 6 Mac, kira-kira seminggu selepas perang bermula. – AFP




