Palestin rayu bantuan antarabangsa hapus sekatan di bandar Tebing Barat

RAMALLAH: Palestin memberi amaran peningkatan serangan tentera Israel dan peneroka haram Yahudi yang melakukan kegiatan haram di bandar Al-Mughayyir, Tebing Barat yang diduduki bertujuan mengasingkan kawasan itu dan memaksa penduduknya berpindah.

Penduduk Palestin menggesa tindakan segera masyarakat antarabangsa diambil bagi menghentikan keganasan itu.

Dalam kenyataan pada Sabtu, Kementerian Luar Palestin berkata, Israel mengenakan ‘kepungan mencekik’ terhadap bandar itu, yang terletak di timur laut Ramallah sejak 20 hari lalu dengan menutup pintu masuk dan hanya membenarkan penduduk bergerak selama dua jam sehari.

Menurut kementerian itu, langkah Israel turut melarang ambulans memasuki bandar berkenaan ketika rakyat Palestin menjadi sasaran secara sembarangan.

“Tindakan Israel ini merupakan usaha untuk mengasingkan dan mengepung bandar itu dari segi ketenteraan serta ekonomi, selain memaksa penduduknya berpindah,” katanya.

Kementerian itu berkata, peningkatan serangan tentera Israel dan peneroka Israel yang melakukan kegiatan haram di Tebing Barat yang diduduki merupakan sebahagian daripada dasar untuk mewujudkan realiti pembunuhan, keganasan dan pemindahan secara paksa, selain mengubah keadaan di lapangan.

Ia menegaskan perlindungan perlindungan politik dan undang-undang yang berterusan terhadap peneroka haram Yahudi yang melakukan kegiatan haram boleh membawa kepada peningkatan konflik dengan kesan yang tidak dapat dikawal, menggesa tindakan antarabangsa segera bagi menghentikannya.

“Pihak kementerian menggesa masyarakat antarabangsa dan semua negara supaya tidak sekadar mengeluarkan kecaman secara lisan, sebaliknya mengambil langkah politik, undang-undang dan ekonomi yang mampu memberi tekanan serta menyediakan perlindungan antarabangsa kepada rakyat Palestin.

“Kami turut menggesa bidang kuasa antarabangsa diaktifkan bagi mendakwa mereka yang bertanggungjawab atas pelanggaran undang-undang, menghalang produk penempatan haram daripada memasuki pasaran antarabangsa dan mengambil tindakan terhadap entiti membekalkan senjata, dana atau sokongan kepada pihak menduduki wilayah Palestin,” tegasnya.

Tebing Barat yang diduduki menyaksikan peningkatan serbuan tentera Israel dan serangan peneroka Israel terhadap rakyat Palestin sejak bermulanya serangan Israel di Gaza pada Oktober 2023.

Pada Jumaat, tiga rakyat Pales­tin cedera dalam serangan peneroka Israel yang melakukan kegiatan haram di Al-Mughayyir, manakala tentera Israel dan peneroka berkenaan menahan sebuah ambulans yang dalam perjalanan untuk membawa mangsa yang cedera. – AGENSI

 

Scroll to Top