Palestin sambut ulang tahun ke-50 hari tanah, tegaskan hak tentukan nasib sendiri, kemerdekaan

Palestin sambut ulang tahun ke-50 hari tanah, tegaskan hak tentukan nasib sendiri, kemerdekaan

KUALA LUMPUR – Kementerian Luar dan Ekspatriat Palestin menegaskan semula hak rakyatnya untuk menentukan nasib sendiri, kemerdekaan dan hak untuk pulang bagi pelarian Palestin, sempena ulang tahun ke-50 Hari Tanah.

Disambut setiap tahun pada 30 Mac, ulang tahun itu adalah tonggak penting kebangsaan dalam perjuangan Palestin dan simbol abadi keterikatan teguh rakyatnya terhadap tanah mereka serta hak negara yang sah.

“Ia mencerminkan perpaduan rakyat Palestin dalam menghadapi dasar penjajahan dan rancangan berterusan yang bermatlamat untuk merampas tanah, memindahkan penduduk aslinya dan memadam sejarah serta kehadiran nasional mereka,” menurut kementerian itu dalam kenyataan pada Isnin.

Kementerian itu menegaskan bahawa Hari Tanah kekal sebagai simbol bahawa tanah itu adalah teras perjuangan Palestin dan asas perpaduan negara, sehingga tamatnya penjajahan dan merealisasikan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya.

Menurutnya Israel terus mengenakan sistem diskriminasi kaum dan apartheid terhadap rakyat Palestin, serta meneruskan perluasan penempatan kolonialnya pada kadar yang semakin pantas, termasuk rampasan tanah, pengembangan penempatan dan sekatan ke atas pembinaan dan perancangan.

“Amalan ini memperkuat kawalannya ke atas tanah Palestin dan mengukuhkan sistem apartheid penjajah, melanggar undang-undang antarabangsa secara terang-terangan, pendapat nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa berkaitan, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Konvensyen Geneva,” menurut kementerian itu sambil menekankan bahawa Israel tidak mempunyai kedaulatan ke atas mana-mana bahagian wilayah Palestin termasuk Jerusalem.

Kementerian itu menyatakan bahawa ulang tahun tersebut berlangsung ketika peningkatan aktiviti pendudukan di seluruh wilayah Palestin yang dijajah, khususnya di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat, termasuk dasar pengilhakan, penyahudian (judaisation), pembersihan etnik dan pemindahan paksa, yang menjejaskan prospek keamanan selain mengancam kestabilan serta keselamatan serantau.

Kementerian itu juga memperbaharui gesaannya kepada masyarakat antarabangsa, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan semua pihak antarabangsa supaya memikul tanggungjawab undang-undang dan moral, menolak pendekatan berat sebelah dan melaksanakan langkah konkrit dan berkesan untuk menghentikan jenayah pendudukan dan perluasan penempatan.

Ia seterusnya menyeru peruntukan bagi perlindungan antarabangsa untuk rakyat Palestin, akauntabiliti ke atas Israel sebagai kuasa pendudukan atas pencabulan berterusannya serta usaha serius untuk mencapai hak Palestin dan menamatkan pendudukan Israel di tanah Negara Palestin. – Bernama

 

 

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Kementerian Luar Palestin menegaskan hak untuk merdeka dan pulang bagi pelarian sempena ulang tahun Hari Tanah.
  • Hari Tanah adalah simbol perpaduan dan perjuangan kebangsaan rakyat Palestin menentang dasar penjajahan Israel.
  • Israel terus melaksanakan diskriminasi, merampas tanah, dan meluaskan penempatan kolonial dengan cepat.
  • Hari Tanah menandakan perjuangan untuk tanah sebagai asas perpaduan negara sehingga tercapainya Palestin merdeka.
  • Gesaan untuk tindakan antarabangsa menghentikan pendudukan dan menjamin perlindungan rakyat Palestin.
Scroll to Top