“Paling Mahal Pernah Saya Bayar, Tapi…” – Kagum Dengan Komitmen, Ojen Aiwahhh Sunting Aliff Syukri, Nur Shahida & Keluarga

“Paling Mahal Pernah Saya Bayar, Tapi…” – Kagum Dengan Komitmen, Ojen Aiwahhh Sunting Aliff Syukri, Nur Shahida & Keluarga

Penyanyi dan usahawan popular, Ojen Aiwahhh membuat pelaburan besar apabila memilih Datuk Seri Aliff Syukri, Datin Seri Nur Shahida serta keluarga mereka sebagai wajah rasmi untuk produk terbaharunya, Kunafa Mangga 5.

Menurut penyanyi lagu Hubb ini, kos yang dikeluarkan antara yang paling tinggi pernah dibayar sepanjang perjalanan bisnes Kunafa Aiwahhh.

“Harga untuk sunting Aliff dan keluarga menjadi duta Kunafa Mangga 5 antara yang paling mahal saya pernah bayar. Namun begitu, ia sangat berbaloi dengan apa yang saya keluarkan.

“Sebenarnya, mereka hanya perlu buat beberapa hantaran di media sosial, tetapi Aliff dan keluarga belanja saya lebih. Jadi, saya kagum dengan komitmen yang diberikan mereka,” katanya.

Ojen ditemui bersama Aliff, Shahida dan keluarga di booth Kunafa Aiwahhh bersempena Havoc Food Festival di Perkarangan Stadium Shah Alam, Selangor pada Rabu.

Booth Kunafa Aiwahhh bakal berada di sana sehingga pada 27 sehingga 31 Ogos, jam 11 lagi sehingga 12 tengah malam.

Produk Kunafa Mangga 5 merupakan inovasi baharu hasil gabungan buah mangga dan delima, sekali gus menjadi kunafa pertama berperisa buah-buahan yang dilancarkan Ojen selepas melalui proses R&D (research and development).

Sementara itu, Aliff menjelaskan keputusan menerima tawaran tersebut bukan kerana bayaran semata-mata, sebaliknya kerana keyakinan terhadap usaha gigih Ojen membangunkan empayar bisnesnya.

“Duit bukan keutamaan kami. Tetapi saya tertarik dengan usaha Ojen membangunkan bisnesnya sehingga menjadi antara bisnes pencuci mulut nombor satu.

“Saya suka lihat perjalanan Ojen, bermula menjual nasi lemak di universiti untuk menampung kehidupan di kampus, sehinggalah dia berjaya sekarang ini menjadi jutawan dengan menjual kunafa. Imej dia sangat baik,” kata Aliff.

Dengan kolaborasi berimpak tinggi ini, Ojen bukan sahaja memperkukuhkan kedudukan Kunafa Aiwahhh dalam pasaran, malah menambah satu lagi pencapaian dalam kerjayanya sebagai usahawan berjaya.

Scroll to Top