Palmer akui kecewa sekadar jadi penonton

Palmer akui kecewa sekadar jadi penonton

London: Penyerang Chelsea, Cole Palmer, mengakui masih berasa kecewa kerana hanya mampu menyaksikan perjuangan England di Piala Dunia dari rumah selepas namanya digugurkan daripada skuad kendalian Thomas Tuchel.

Palmer menyerlah ketika Kejuaraan Eropah dua tahun lalu, malah menjaringkan gol pada aksi final menentang Sepanyol.

Pemain berusia 24 tahun itu juga sering diberi peluang oleh Tuchel sepanjang kempen kelayakan dan diturunkan dalam aksi persahabatan terakhir menentang Jepun sebelum senarai akhir skuad diumumkan bulan lalu.

Bagaimanapun, prestasi kurang memberangsangkan bersama Chelsea musim lalu menyebabkan Palmer menjadi antara nama besar yang tercicir daripada skuad ke Piala Dunia.

England berjaya mara ke pusingan 16 terbaik, namun sering dikritik kerana kekurangan kreativiti dalam jentera serangan.

Skuad The Three Lions banyak bergantung kepada kehebatan Harry Kane dan Jude Bellingham untuk menghasilkan detik penting, manakala Bukayo Saka serta Noni Madueke masih gagal memberi impak besar di bahagian sayap.

Palmer percaya dia mampu menawarkan sesuatu yang berbeza dan mengurangkan kebergantungan England terhadap Kane dan Bellingham.

“Saya menonton perlawanan apabila berpeluang. Saya menikmati cuti dan melakukan pelbagai aktiviti, tetapi apabila berehat dan ada perlawanan, saya akan menontonnya.

“Sudah tentu saya berharap berada dalam skuad. Setiap pemain bola sepak mahu beraksi di Piala Dunia, tetapi keputusan itu bukan sesuatu yang boleh saya ubah. Ia memang sukar untuk diterima, walau apa pun alasannya.

“Sekarang saya hanya cuba menikmati cuti musim panas, kali pertama saya benar-benar mempunyai cuti seperti ini,” katanya kepada The Times.

Bekas pertahanan England, Jamie Carragher, turut menyertai senarai pemerhati yang berpendapat Tuchel melakukan kesilapan apabila tidak membawa Palmer ke Piala Dunia.

Mengulas pandangan itu, Palmer mengakui dia menghargai sokongan yang diterimanya, namun enggan terus mempersoalkan keputusan pengendali England berkenaan.

“Sudah tentu saya menghargai pandangan itu, tetapi hakikatnya saya tidak berada di sana.

“Saya tahu apa yang boleh saya tawarkan kepada pasukan, sesuatu yang berbeza daripada pilihan pengurus.

“Tetapi seperti yang saya katakan sebelum ini, saya tidak boleh mengubah keputusan itu dan saya hanya mendoakan yang terbaik buat semua pemain England,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top