Palmer kesal Chelsea hilang fokus di Munich

Palmer kesal Chelsea hilang fokus di Munich

Munich: Pemain tengah Chelsea, Cole Palmer, mengakui pasukannya hilang tumpuan sehingga tewas 1-3 kepada Bayern Munich pada aksi pembukaan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.

Kekalahan di Allianz Arena itu sekali gus mencalit kekecewaan buat juara Piala Dunia Kelab yang kembali beraksi di pentas Eropah selepas dua tahun menyepi.

Chelsea dikejutkan dengan jaringan sendiri Trevoh Chalobah selepas diasak Michael Olise, sebelum kapten England, Harry Kane, menambah gol menerusi penalti.

Palmer sempat merapatkan jurang selepas menyudahkan gerakan cantik pasukan, namun kesilapan Malo Gusto akhirnya membolehkan Kane melengkapkan dua gol peribadi dan memastikan kemenangan bergaya buat Bayern.

“Memang mengecewakan, saya rasa kami layak dapat lebih. Kami bermula baik dengan beberapa peluang awal, tapi di peringkat tertinggi kesilapan mudah memang sukar untuk ditebus,” kata Palmer kepada TNT Sports.

“Tapi kami buktikan kami mampu bersaing dengan salah satu pasukan terbaik dalam saingan ini. Ia pengalaman berguna dan kami perlu bangkit selepas ini.”

Jurulatih Chelsea, Enzo Maresca, juga menganggap kekalahan itu sebagai pengajaran berguna buat skuad mudanya.

“Kami tak boleh ulangi kesilapan seperti ini, tetapi saya beritahu pemain kekalahan ini boleh jadi titik mula untuk membina sesuatu yang istimewa. Dari segi pengalaman, beza mereka dengan kita sangat jauh, namun kami masih mampu beri saingan,” katanya.

Chelsea akan kembali ke Stamford Bridge menentang Benfica pada aksi kedua, dengan lawan dijangka dibimbing bekas pengendali Blues, Jose Mourinho.

“Beliau legenda, bukan saja untuk kelab ini, tapi untuk bola sepak,” kata Maresca mengenai kepulangan Mourinho.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top