Palmer tak pasti lawan Arsenal

Palmer tak pasti lawan Arsenal

London: Arsenal akan cuba melebarkan kelebihan tipis mereka selaku pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) dan meneruskan tekanan ke atas Manchester City dan Liverpool apabila melayan kunjungan Chelsea dalam aksi derby London awal pagi esok.

Dengan Manchester City dan Chelsea berentap pada separuh akhir Piala FA Ahad lalu, Arsenal (23-5-5, 74 mata) kembali merampas kedudukan teratas dengan kemenangan 2-0 di Wolverhampton Wanderers.

Liverpool menang di Fulham untuk menyamai pungutan mata dengan Arsenal tetapi Gunners di depan berdasarkan perbezaan jaringan manakala Manchester City hanya satu mata di belakang tetapi berkelebihan satu perlawanan dalam tangan.

Pengurus Arsenal, Mikel Arteta enggan mengambil mudah cabaran Chelsea yang menduduki tangga kesembilan carta EPL (13-10-8, 47 mata) selepas skuad Mauricio Pochettino tampil meyakinkan ketika tewas 0-1 di tangan Manchester City.

Namun sesuatu yang melegakan ialah pemain berbisa Chelsea Cole Palmer belum pasti diturunkan selepas berdepan masalah kesihatan dan dia tidak berlatih semalam.

Pemain sayap itu yang ditandatangani Blues dari Manchester City pada musim panas lalu muncul pemain tengah menyerang paling penting.

Selepas meledak empat gol pada aksi terakhir liga Chelsea dengan membelasah Everton 6-0 di tempat sendiri, Palmer kini berkongsi kedudukan penjaring terbanyak dengan 20 gol bersama penyerang Manchester City Erling Haaland.

“Kami akan menilainya hari ini,” kata Pochettino merujuk situasi Palmer yang meledak 10 gol dan mencipta tiga bantuan jaringan dalam enam aksi terakhir liga.

“Hari ini, saya tak yakin dia akan beraksi esok kerana kami perlu menilai dahulu dan kemudiannya membuat keputusan.”

© New Straits Times Press (M) Bhd