Palmer tunjang kebangkitan Chelsea julang Liga Konferens

Palmer tunjang kebangkitan Chelsea julang Liga Konferens

Wroclaw: Bintang utama Chelsea, Cole Palmer yang agak tenggelam pada separuh kedua musim dengan hanya satu gol dalam 22 perlawanan dan beberapa bantuan jaringan, tetap menunjukkan prestasi cemerlang apabila kreativiti dan kebijaksanaannya membantu mereka memenangi Liga Konferens.

Chelsea ketinggalan 0-1 kepada Real Betis pada separuh masa dalam perlawanan akhir, awal pagi tadi selepas dikuasai oleh tenaga dan tekanan tinggi lawan dalam 45 minit pertama.

Chelsea memerlukan jalan untuk bangkit semula dan Palmer melakukan dua bantuan gol sempurna dalam tempoh lima minit yang mengubah momentum memihak kepada mereka.

Ia hasil dua serangan pantas yang mematikan semangat Betis, dan Chelsea mara dengan kemenangan 4-1.

Pemain tengah England itu menghasilkan hantaran silang dari sebelah kanan yang tepat ke arah Enzo Fernandez untuk ditanduk masuk, sebelum gerakan pantas kakinya melepasi pertahanan dan membuka ruang untuk menghantar bola kepada Nicolas Jackson bagi menjadikan kedudukan 2-1.

“Kami meningkatkan intensiti dan memberikan persembahan yang baik pada separuh masa kedua,” kata Palmer.

“Saya bosan menerima bola dan hanya menghantar ke belakang atau ke tepi.

“Gol pertama, ada sedikit ruang dan saya nampak Enzo sedang berlari. Gol kedua, sama juga. Saya rasa kami tunjukkan semangat juang yang baik untuk bangkit semula.”

Sumbangannya jelas dihargai oleh rakan sepasukan.

“Kalau anda lihat apa yang dia lakukan hari ini, memang luar biasa. Dua bantuan gol yang benar-benar mengubah permainan. Itulah yang dia mampu lakukan,” kata pertahanan Chelsea, Tosin Adarabioyo.

Satu-satunya gol Palmer sejak pertengahan Januari adalah sepakan penalti lewat ketika menentang Liverpool, tetapi kemampuannya melakukan hantaran tepat atau memilih saat sesuai untuk meningkatkan tempo, menjadikannya pemain yang menonjol dalam perlawanan besar.

Pemain berusia 23 tahun itu memang terkenal dengan sifat pendiam dalam temu bual, tetapi bukan dari segi bakat dan pengaruh dalam skuad muda Chelsea ini.

Jika mereka mahu terus maju dan mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL), dialah pemain yang akan menjadi tunjang kepada perancangan pengurus Enzo Maresca.

Pada malam penuh debaran di Wroclaw, ketika ketenangan dan kualiti amat diperlukan, Palmer menunjukkan mengapa dia sangat penting.

“Tempoh sukar yang dia lalui musim ini akan menjadikannya pemain yang lebih baik, tiada keraguan,” kata Maresca.

“Di kawasan serangan, dia mampu menentukan keputusan perlawanan sama ada melalui gol atau bantuan. Dan kedua-dua bantuan gol itu sangat cantik,” kata Maresca.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top