Paluan gendang BOS bakal gegar Stadium Bukit Jalil

Paluan gendang BOS bakal gegar Stadium Bukit Jalil

JOHOR BAHRU – Boys Of Straits (BOS) sudah bersedia dengan ribuan penyokong  yang akan menggegarkan Stadium Bukit Jalil malam ini dengan paluan 20 gendang.

Pengurus BOS, Farihin Johari  berkata, sebanyak 100 bas  telah berlepas pagi tadi menuju Kuala Lumpur dengan membawa 4,000 penyokong pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) dari seluruh daerah untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala FA malam ini.

Ia merupakan misi sokongan terhadap pasukan JDT dan paluan gendang yang dibawa bersama bakal menyemarakkan perlawanan malam ini, katanya.

 

“Kami harapkan lautan biru kali ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pengurus BOS, Farihin Johari

Menurut  Farihin, sebahagian penyokong JDT telah bertolak ke Kuala Lumpur malam tadi manakala sebahagian lagi telah memulakan konvoi awal pagi ini.

“Di Stadium Larkin (Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos) sahaja kita menyediakan 12 bas dengan 455 penyokong dan begitu juga Stadium Sultan Ibrahim (Iskandar Puteri) pun ada juga bagi membawa penyokong BOS.

“Semua penyokong telah diberikan taklimat selepas kita dapat prosedur operasi standard (SOP) daripada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

“Kita mahu elak provokasi dan perkara yang menimbulkan kemarahan, malah SOP untuk masuk stadium pun kita tekankan. Bagi saya penyokong JDT sangat berdisiplin tentang SOP dan keselamatan,” katanya. – MalaysiaGazette