PASIR PUTEH: Pembinaan Stesen Pam Pengairan Gong Tambak dan Projek Sistem Pam Kemubu 4 dilihat mampu menjadi ‘talian hayat’ kepada pesawah apabila berjaya menstabilkan bekalan air sawah terutama ketika musim kemarau dan cuaca tidak menentu.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Khalid Abdul Samad berkata, pembangunan infrastruktur pam itu merupakan penyelesaian jangka panjang bagi memastikan aktiviti penanaman padi dapat diteruskan tanpa gangguan besar.
“Stesen Pam Pengairan Gong Tambak di Pasir Puteh dibina dengan kos RM1.151 juta dan dijangka memberi manfaat kepada 43 pesawah melibatkan kawasan Bendang Gong Tambak serta Bendang Kubang Tok Yoh seluas kira-kira 128 hektar.
“Projek ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan sistem pengairan, malah menjadi pelaburan strategik kepada pembangunan sektor pertanian negeri,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pam Pengairan Gong Tambak di sini hari ini.
Abdul Khalid memberitahu, Projek Sistem Pam Kemubu 4 yang mula beroperasi sepenuhnya pada Februari lalu berjaya membantu menstabilkan bekalan air terutama di kawasan Bachok dan sekitarnya.
Katanya, projek bernilai hampir RM20 juta itu melibatkan lapan pam utama di Rumah Pam Kemubu serta pam sokongan di Lemal, Pasir Mas.
“Hasil pelaksanaan projek ini, sekitar 93 hingga 95 peratus kawasan tanaman padi berjaya diusahakan tanpa gangguan besar walaupun berdepan cabaran cuaca,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Khalid berkata, setakat ini peratusan penuaian musim 2/2026 telah mencapai 45 peratus membabitkan keluasan tanaman sebanyak 24,838 hektar, manakala lebih 11,000 hektar lagi masih berada dalam fasa keluar tangkai dan masak.
“Meskipun berdepan masalah cuaca, hasil penuaian musim ini jauh lebih baik berbanding musim sebelumnya yang kebiasaannya merekodkan purata sekitar 4.1 tan metrik sehektar.
“Malah ada kawasan tertentu berjaya mencapai hasil sehingga 10 tan metrik sehektar sekali gus membembuktikan keberkesanan pengurusan air dan sistem pengairan yang lebih stabil selepas projek pam dilaksanakan,” katanya.-UTUSAN




