Pameran Kementerian Perpaduan Negara paling meriah di MAHA 2022

Pameran Kementerian Perpaduan Negara paling meriah di MAHA 2022

SERDANG – Ruang pameran Kementerian Perpaduan Negara merupakan antara yang paling ramai dikunjungi pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 dekat Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini.

Kemeriahan itu dapat dirasai apabila orang ramai yang singgah ke ruang pameran itu teruja dengan pelbagai aktiviti susulan daripada tiga program Semarak Uniti Keluarga Malaysia yang berjaya dilaksanakan.

Program flagship seumpama itu amat wajar diteruskan sekaligus dapat mempromosi aktiviti perpaduan dan KPN kepada pihak umum.

Menterinya, Datuk Halimah Sadique memaklumkan, pihaknya menyajikan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung yang datang ke ruang pameran mereka.

Katanya, antara aktiviti itu ialah Projek Ekonomi KRT, Rumah KAMI, Pentas Mini dan Kopitiam Uniti.

Pengujung yang tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke tapak pameran Kementerian Perpaduan Negara sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro-Pelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di MAEPS Serdang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 11 OGOS 2022.

“Turut diadakan program Uniti Kami Photo Challenge dan ujibakat pencarian penyampai berita menerusi program Uniti Berita Challenge.

“Selain itu, Pameran Semarak Uniti Keluarga Malaysia KPN di MAHA 2022 turut menampilkan penglibatan beberapa orang artis yang terdiri daripada pelakon, penyanyi dan pengacara seperti Mark Adam, Zara Sya, Amira Othman, Fara Fauzana, Dina Nadzir, Lan Solo, Kencana Dewi, Angeline Tan dan lain-lain,” katanya.

Dalam pada itu, Halimah berharap penglibatan KPN dalam MAHA 2022 akan dapat membantu mempromosikan Program Semarak UNITI Keluarga Malaysia yang menjadi platform integrasi sekali gus sebagai tapak mengeratkan jalinan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum bermula peringkat akar umbi.

Menurut beliau, ini adalah pendekatan yang ditekankan oleh KPN bagi memastikan program-program perpaduan dapat didengari, dilihat dan dirasai seluruh masyarakat diperingkat akar umbi.

Pavillion KPN yang dibina khas ini adalah bagi menyemarakkan aktiviti berteras perpaduan.

Program-program yang ditampilkan mendahului semangat kebersamaan pelbagai etnik pelbagai kaum.

Sejajar dengan modus operandi KPN untuk setiap programnya dilihat, didengar dan dirasa, penyertaan di MAHA benar-benar digunakan sebagai kesempatan terbaik menyampaikan mesej-mesej dan objektif penubuhan Kementerian yang ditubuhkan pada Mac 2020 ini.

Sebagai Kementerian yang paling muda, KPN begitu menonjol dengan misi dan visi objektif penubuhannya di MAHA. – MalaysiaGazette