sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengendali baharu Selangor FC, Kim Pan-gon bertekad akan membantu skuad Red Giants mendapatkan kembali ‘DNA’ permainan mereka sekali gus tampil dengan prestasi yang lebih baik daripada sebelum ini.
Jelasnya, kemenangan ke atas DPMM FC itu adalah sebagai langkah permulaan dan melihat masih banyak perkara yang harus dilakukan untuk memastikan skuad kendaliannya benar-benar menjadi antara pasukan terkuat dalam saingan Liga Super.
Katanya, tempoh tiga hari persiapan bukan masa yang cukup tetapi pemain berjaya memberikan persembahan seperti yang dirancang di dalam latihan dan itu membuatkan dirinya berbangga dengan barisan pemain.
“Secara keseluruhan, saya sangat gembira dengan apa yang dipamerkan oleh pasukan hasil persiapan kami sepanjang tiga hari lalu. Pemain menunjukkan semangat dan keghairahan yang tinggi. Saya fikir inilah cara permainan yang kami mahu bina, iaitu ‘Selangor Way’.
“Ketika ini, kami sedang dalam proses membangunkan identiti dan DNA permainan Selangor supaya menjadi sebuah pasukan yang kuat. Reaksi pemain sangat positif, mereka seronok dan berani untuk bermain mengikut cara yang diterapkan.
“Saya gembira dengan kemenangan ini, tetapi ia hanyalah satu langkah kecil. Perjalanan kami masih jauh. Kami tidak boleh cepat berpuas hati dan perlu terus merendah diri serta membina pasukan ini langkah demi langkah,” katanya.
Selain itu, jurulatih kelahiran Korea Selatan itu juga melihat kemenangan pertama beliau sebagai pengendali Selangor juga amat penting untuk dirinya mendapatkan motivasi tambahan.
“Kemenangan pertama ini amat bermakna, terutama apabila dapat kembali beraksi dalam Liga Super Malaysia. Saya menghargai pemain dan penyokong, dan akan terus berusaha menyumbang kepada kemajuan bola sepak Selangor,” kata Pan-gon.
Terdahulu, bekas jurulatih Harimau Malaya lulus ujian pertama bersama Selangor FC apabila berjaya mencatat kemenangan 5-2 dalam aksi Liga Super ke atas DPMM FC di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, semalam.
Kemenangan itu membolehkan mereka mengumpul 28 mata dan terus berada dalam landasan terbaik untuk merebut kedudukan naib juara liga.
© New Straits Times Press (M) Bhd



