asmaini@mediaprima.com.my
Musim sejuk waktu tepat untuk merasai sendiri keunikan pengalaman bersantai di kawasan mata air panas di Taiwan.
Dikenali sebagai ‘Muzium Mata Air Panas Dunia,’ negara itu menawarkan 19 lokasi mata air panas unik di seluruh pulau, dari utara ke selatan dan timur ke barat.
Kawasan mata air panas di negara itu dikelilingi pemandangan memukau, menjadikannya destinasi utama peminat mata air panas dari seluruh dunia.
Landskap geologi unik negara itu yang terletak di sempadan pertemuan antara plat Laut Filipina dan plat Eurasia pula menghasilkan aktiviti geotermal dan pelbagai sumber mata air jernih yang bersuhu tinggi di seluruh pulau.
Mata air panas terkenal kerana dikatakan dapat membantu meremajakan kulit, meningkatkan peredaran darah, melegakan ketegangan otot, mengurangkan tekanan, menenangkan dan memulihkan.
Menurut Pengarah Pejabat Pentadbiran Pelancongan Taiwan di Kuala Lumpur, Abe Chou, musim sejuk masa terbaik bersantai di mata air panas terkenal di negara itu.
Katanya, dengan 19 kawasan mata air panas menawarkan pelbagai kemudahan, dari rendaman tangan dan kaki awam percuma hingga rumah mandian peribadi terletak di kawasan indah, Taiwan menyediakan persekitaran ideal untuk pelancong menikmati percutian dengan tenang.
“Bagi penggemar aktiviti berbasikal, negara ini menawarkan laluan berbasikal yang indah melalui kawasan mata air panas, memudahkan penggabungan aktiviti fizikal dengan ketenangan.
“Selepas berbasikal, boleh berendam dalam mata air panas yang menenangkan, ia membantu meningkatkan metabolisme dan mempertingkatkan kesihatan, menjadikan pengalaman perjalanan lebih menyegarkan,” katanya.
Antara lokasi boleh dikunjungi adalah Taman Mata Air Panas Sichongxi, Pingtung yang kini sedang mengadakan festival musim sejuk sehingga awal Mac ini.
Selain itu, Mata Air Panas Taian, Daerah Miaoli juga dibuka sehingga 10 Februari ini.
Jika ke kawasan utara, Mata Air Panas Jiaoxi, Yilan juga tidak kurang menariknya untuk dikunjungi.
Manakala di Taiwan Selatan, Mata Air Panas Baolai, Kaohsiung menawarkan keindahan alam semula jadi yang menakjubkan.
Dalam pada itu, Larian Marathon Taipei di negara itu baru-baru ini menarik penyertaan 28,000 pelari dari seluruh dunia.
Sejak diperkenalkan pada 1986, ia menjadi antara acara utama bagi ramai pelari, selain diiktiraf satu-satunya maraton bandar di Taiwan yang disahkan World Athletics Gold Label serta Elite Label.
Ia turut menerima sijil jejak karbon dari British Standards Institution.
Diadakan pada Ahad ketiga pada Disember setiap tahun, larian maraton itu antara acara terbesar di negara berkenaan.
Tema Larian Marathon Taipei 2024 ialah ‘Cabar Potensi Anda’ di mana pelari menyelusuri laluan menjelajah landskap bandaraya Taipei yang menggabungkan sejarah dan sentuhan moden, sambil menikmati pengalaman budaya unik masyarakat tempatan.
Bermula dari Citizen Plaza di hadapan Dewan Bandaraya Taipei dan berakhir di Stadium Perbandaran Taipei, larian marathon itu mempamerkan pemandangan ikonik bandaraya berkenaan.
Sementara itu, menurut Indeks Perjalanan Muslim Global 2024 (GMTI), Taiwan turut menduduki tempat ketiga antara destinasi bukan negara Pertubuhan Kerjasama Islam ( OIC), selepas Singapura dan United Kingdom, dengan Taipei menerima anugerah ‘Destinasi Perjalanan Mesra Muslim Yang Paling Sesuai.’
Kata Chou, bandaraya itu bekerja keras untuk menjadi bandar mesra Muslim dengan menyediakan kemudahan lengkap dan perkhidmatan prihatin bagi memastikan pengunjung dari seluruh dunia merasa selesa, baik dari segi keperluan ibadah mahupun pengalaman budaya.
© New Straits Times Press (M) Bhd