SHAH ALAM – Panasonic Malaysia (Panasonic) mengambil langkah responsif dengan menampilkan inovasi penyaman udara pintar dua dalam satu generasi terbaharu, Siri X-Premium Inverter.
Ketua Pegawai Operasi Panasonic Air-Conditioning Malaysia, Dai Nishi berkata, pihaknya memahami tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat dan kebimbangan kesihatan berterusan yang dihadapi rakyat negara ini.
“Realiti tersebut memberi inspirasi kepada kami untuk mencipta slogan Beyond The Cool yang mencerminkan komitmen Panasonic untuk memenuhi keperluan sebenar dengan solusi lengkap.
“Siri X-Premium Inverter baharu ini menawarkan kecekapan tenaga bersama teknologi mampan yang memfokuskan kesihatan. Ia direka dengan teliti untuk mewujudkan ruang yang lebih baik untuk kehidupan setiap hari,” katanya.
Tambah Nishi, Panasonic berusaha menyediakan kualiti udara dalaman yang lebih baik berbekalkan pemahaman mendalam mengenai gaya hidup tempatan berpandukan tiga semangat kualiti Jepun iaitu omotenashi, mottainai dan monozukuri.
“Produk ini benar-benar unik kerana ia melambangkan pemahaman mendalam kami terhadap ciri rumah dan gaya hidup rakyat berlandaskan pengalaman lebih 50 tahun yang disokong pusat penyelidikan serta pembangunan tempatan.
“Kami mempunyai 12 pusat servis penyaman udara Panasonic dan 95 pasukan Home Service bertauliah di seluruh negara yang sentiasa bersedia untuk memberikan khidmat sokongan boleh dipercayai pada bila-bila masa,” katanya.
Direka untuk menyokong kehidupan lebih baik, Siri X-Premium Inverter dilengkapi Teknologi Udara Bersih Panasonic dengan penambahbaikan terkini dalam penapisan, keselesaan dan sensor pintar.
Teras siri nanoe™ X Generator Mark 3 yang menghasilkan 48 trilion radikal hidroksil sesaat membolehkan ia menghalang debunga dan menyahbau empat kali lebih pantas berbanding generasi terdahulu.
Ciri Inside Cleaning On Demand melengkapkan proses penapisan udara dengan membersihkan bahagian dalaman unit penyaman udara secara aktif dan menghilangkan sisa daripada kelembapan.

Lawatan media ke pusat penyelidikan dan pembangunan di kilang Panasonic Appliances Air-Conditioning Malaysia sempena pelancaran tersebut.
Sistem tersebut turut mengandungi Anti-Dust Cross Flow Fan yang mencegah pengumpulan habuk dalaman, manakala nanoe™ X menyekat bahan pencemar sekali gus menghalang hingga 99 peratus bakteria, virus dan kulat.
Bagi membantu pengguna memantau kualiti udara di rumah, setiap unit penyaman udara siri terbaharu dilengkapi dengan Clean Air Indicator iaitu paparan masa nyata tiga warna yang memantau tahap kualiti udara.
Ia turut dilengkapi sensor habuk yang mengesan partikel sekecil PM2.5 dan Odour Sensor mengenal pasti aroma seperti masakan, sampah, asap rokok, bau badan serta haiwan peliharaan.
Selain udara bersih, fitur baharu itu direka untuk kecekapan tenaga dengan menampilkan Cooling Seasonal Performance Factor (CSPF) yang tinggi dan penarafan tenaga lima bintang sehingga 58 peratus lebih rendah berbanding model bukan inverter.
Bagi menyokong pelancaran produk, Panasonic turut melancarkan kempen Hidup Mesti Chill sebagai inisiatif untuk mengingatkan rakyat Malaysia agar kekal tenang dan menjaga kesejahteraan mental walaupun menghadapi tekanan hidup seharian.
Sempena kempen yang berlangsung hingga 31 Oktober tersebut, empat pemenang bertuah berpeluang memenangi hadiah utama berupa subsidi bil elektrik selama setahun bernilai RM10,000, selain perkakas rumah Panasonic dan kredit TNG eWallet.
Siri Penyaman Udara X-Premium Inverter baharu kini boleh didapati di pengedar sah dan kedai dalam talian rasmi dengan harga seunit bermula RM2,801 dengan jaminan tiga tahun untuk alat ganti umum serta waranti lima tahun untuk unit pemampat.