Panda terakhir Jepun bersiap sedia pulang ke China

Panda terakhir Jepun bersiap sedia pulang ke China

Tokyo: Ratusan peminat berkumpul di sebuah zoo di Tokyo pada Ahad bagi mengucapkan selamat jalan kepada dua ekor panda gergasi terakhir di negara ini. Kehadiran haiwan ikonik yang menjadi simbol persahabatan China-Jepun sekian lama itu berakhir dua hari sebelum ia dijadualkan berlepas ke China.

Menurut Agensi Berita Kyodo, pemergian Xiao Xiao dan kakaknya, Lei Lei, akan menyebabkan Jepun ketiadaan panda buat kali pertama sejak 1972. China mula menghadiahkan pasangan panda kepada Jepun pada tahun tersebut susulan normalisasi hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Data Kerajaan Metropolitan Tokyo mendedahkan pengunjung perlu membuat tempahan awal bagi melihat panda di Taman Zoologi Ueno pada Ahad. Sebanyak 4,400 slot disediakan, namun permohonan secara dalam talian melonjak sehingga 24.6 kali ganda daripada jumlah kapasiti yang ada.

Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dari Tokyo yang hadir bersama ibu bapanya berkata, kedua-dua panda kelihatan sihat dan comel ketika sedang menikmati pucuk buluh.

Meskipun gagal mendapatkan slot tontonan, terdapat pengunjung yang tetap hadir ke kawasan zoo bagi menyatakan sokongan. Seorang penduduk dari Wilayah Saitama berusia 60 tahun menyatakan kesanggupan untuk berada di sana sehingga zoo ditutup demi mengharapkan kembar panda itu sentiasa berada dalam keadaan baik.

Xiao Xiao dan Lei Lei akan meninggalkan Jepun pada Selasa dan dijangka tiba di sebuah fasiliti di China pada keesokan harinya.

Sejak ketibaan panda pertama setengah abad lalu, haiwan ini telah menambat hati ramai penduduk Jepun dan menarik jumlah pengunjung yang luar biasa. Selain menjadi tarikan pelancongan, kewujudan panda turut memberi impak ekonomi besar melalui jualan barangan permainan dan cenderamata bertemakan haiwan berkenaan.

Pasangan kembar ini lahir di Jepun pada 2021 melalui ibu mereka, Shin Shin dan pasangan, Ri Ri. Kedua-dua induk tersebut berada di Jepun atas dasar pinjaman bagi tujuan penyelidikan pembiakan, namun pemilikan tetap di bawah kerajaan China.

Xiao Xiao dan Lei Lei menjadi baki terakhir panda di Jepun selepas empat ekor panda lain di taman tema Adventure World, Wilayah Wakayama, pulang ke China pada Jun tahun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top