Pandangan Guan Eng terhadap kenapa DAP dianggap parti Cina

PETALING JAYA: DAP dianggap sebagai parti berasaskan kaum Cina kerana masih ramai yang melihat isu politik dari sudut pandang perkauman, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Dalam temubual ekslusif bersama FMT, Lim yang kini pada penggal terakhirnya sebagai setiausaha agong parti berkata , komposisi bangsa yang menganggotai DAP sering kali dipersoalkan memandangkan kurangnya penyertaan orang Melayu dalam parti tersebut. Ini tidak akan timbul jika semua meletakkan Negara dahulu dan menggelar diri warga Malaysia.

“Perkara ini sering ditujukan kepada DAP , tetapi tidak diajukan kepada parti lain yang ditubuhkan ekslusif untuk orang Melayu atau Islam,” jelas beliau kepada FMT.

Lim berkata DAP akan meneruskan perjuangan ke arah memperkaya, memperkasa, serta membolehkan setiap rakyat tanpa mengira bangsa mahupun agama membentuk perpaduan, biarpun menyedari ianya bukanlah hal yang mudah.

“Melainkan harapan itu diperjuangkan, saya rasa Malaysia akan dibahagikan kepada Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan. Jadi sampai bila baru kita boleh bersatu?

Bekas menteri kewangan itu memberi amaran sekiranya kepentingan politik terus memecah-belahkan rakyat berbilang kaum di Malaysia, negara ini akan ketinggalan jauh di belakang negara Asean yang lain dari segi ekonomi dan pembangunan teknologi.

Beliau menambah tindakan sesetengah parti sayap kanan yang secara berterusan menyebarkan sentimen “agama yang ektremis” akan merugikan negara.

Mengulas situasi politik yang goyah pada ketika ini , Lim menegaskan DAP membantah sebarang bentuk kerjasama dengan golongan kleptokrat namun tidak keberatan untuk bekerjasama dengan mana-mana individu yang mempunyai pendirian untuk mendahulukan rakyat.

Sementara itu, Lim akan menyerahkan keputusan kepada anggota parti bagi menentukan peranannya dalam DAP sebaik tamat penggalnya sebagai setiausaha agung.

“Kita dihadkan kepada tiga penggal bagi menjawat jawatan itu. Atas sebab ini, saya akan menyerahkan baton kepada Persidangan Kebangsaan DAP yang akan datang”.

“Sama ada saya akan terus jadi sebahagian dari kepimpinan parti atau tidak, ianya akan ditentukan oleh persidangan dijadual hujung tahun ini,” kata Lim.

Terdapat spekulasi Lim akan dilantik sebagai pengerusi dalam usaha mengekalkan kuasa beliau dalam DAP.