
Pemimpin dunia gagal mengambil iktibar daripada penularan Covid-19 sebelum ini. Foto Agensi
GENEVA – Negara antarabangsa terlepas satu tarikh penting untuk memuktamadkan perjanjian pandemik global, sekali gus mencetuskan amaran bahawa dunia masih belum bersedia untuk menghadapi wabak penyakit besar seterusnya.
Sistem akses patogen dan perkongsian manfaat (PABS) perlu diwujudkan sebelum perjanjian pandemik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengawal cara dunia bertindak balas terhadap wabak penyakit berskala besar pada masa depan boleh dikuatkuasakan.
Bekas Presiden Liberia, Ellen Johnson Sirleaf dan bekas Perdana Menteri New Zealand, Helen Clark yang mengetuai Panel Bebas WHO mengenai Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Pandemik menyifatkan kegagalan mencapai persetujuan sebagai sesuatu yang ‘amat dikesali’.
Sebelum ini, panel tersebut mencadangkan perjanjian pandemik lima tahun lalu selepas menilai tindak balas antarabangsa terhadap Covid-19 yang sebenarnya boleh menyelamatkan jutaan nyawa jika tindakan diselaraskan dan lebih pantas diambil.
“Jika patogen baharu muncul hari ini, dunia masih lemah dari segi kesiapsiagaan. Kegagalan bertindak untuk mencegah dan bersedia terhadap ancaman pandemik seterusnya adalah satu pengkhianatan kepada kemanusiaan,” menurut kenyataan itu.
Pemimpin dunia mula mengumumkan rancangan perjanjian pandemik pada Mac 2021, namun kemajuan terjejas akibat ketidakpercayaan yang tinggi antara negara kaya dan negara miskin selain penyebaran maklumat palsu di media sosial termasuk dakwaan bahawa perjanjian itu akan menjejaskan kedaulatan negara.
Sistem PABS pada asalnya dijadualkan untuk dibentangkan di Geneva pada bulan ini, namun para perunding memaklumkan lebih banyak masa diperlukan dan 2027 dicadangkan sebagai tarikh akhir baharu. – Agensi



