Pang Ron-Su Yin congak strategi ampuh

Pang Ron-Su Yin congak strategi ampuh
Pang Ron (belakang) dan Su Yin mahu mencari rentak terbaik bagi mencabar kelompok elit dunia. Foto Agensi

Pang Ron (belakang) dan Su Yin mahu mencari rentak terbaik bagi mencabar kelompok elit dunia. Foto Agensi

BEREGU campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin, akan mencongak strategi baharu untuk kembali mencabar kelompok terbaik dunia selepas mengalami kemerosotan prestasi sejak awal musim ini.

Pasangan yang kini menghuni ranking ke-13 dunia itu pernah melakar kejutan apabila mara ke final Masters China 2024 sebelum berdepan pelbagai rintangan, termasuk masalah kecederaan yang dihadapi oleh Su Yin.

“Saya rasa sangat tidak puas hati kerana prestasi kami merosot selepas final itu. Mungkin banyak pasangan sudah dapat membaca gaya permainan kami. Sebab itu, kami akan terus berbincang dengan jurulatih mengenai perkara ini untuk meningkatkan semula prestasi.

“Ada banyak perkara yang perlu diperbaiki, antaranya ialah gaya permainan. Kami memerlukan pelbagai variasi permainan. Kemudian, yang paling penting ialah kekuatan mental kerana kami pernah mara ke final sebelum ini,” ujar Pang Ron.

Begitupun, beliau enggan berasa panik, sebaliknya bersikap positif apabila melihat kecederaan tersebut sebagai peluang untuk ‘berehat’ dan menilai semula prestasi, memperbaiki kelemahan serta memulakan semula dari angka ‘kosong’.

“Su Yin sedang dalam proses pemulihan dan kami tidak mahu tergesa-gesa kembali ke gelanggang kerana bimbang kecederaannya akan menjadi lebih serius.

“Jadi, kami mengambil pendekatan langkah demi langkah. Banyak perkara perlu diperbaiki, terutamanya daripada segi corak permainan dan ketahanan mental.

“Rehat ini juga baik kerana ia memberi kami ruang untuk duduk dan berfikir semula. Selepas sudah lama tidak menang, dari segi mental juga kami agak terjejas,” kata Pang Ron.

Sejak kejayaan mara ke final Masters China pada November lalu, pasangan itu mengharungi beberapa penyingkiran seawal pusingan pertama tahun ini, termasuk dalam tiga kejohanan terakhir iaitu di Seluruh England, Kejohanan Asia dan Terbuka Thailand.

Scroll to Top