Pang Ron-Su Yin mara ke suku akhir Kejohanan Dunia di Paris

Pang Ron-Su Yin mara ke suku akhir Kejohanan Dunia di Paris
Su Yin (kiri) dan Pang Ron mara ke saingan suku akhir Kejohanan Badminton Dunia selepas menewaskan rakan senegara pada Khamis. Foto: Agensi

Su Yin (kiri) dan Pang Ron mara ke saingan suku akhir Kejohanan Badminton Dunia selepas menewaskan rakan senegara pada Khamis. Foto: Agensi

BEREGU campuran muda negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin melakar kejutan apabila melangkah ke suku akhir Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Perancis sebentar tadi.

Kejayaan tersebut bagaimanapun tidak diraih dengan mudah apabila pasangan nombor 16 dunia itu dipaksa bekerja keras sehingga ke set penentuan sebelum menumpaskan rakan senegara, Goh Soon Huat-Shevon Lai dalam saingan pusingan ketiga.

Dalam aksi di Adidas Arena, Paris, pasangan berusia 27 dan 22 tahun itu bermula dengan langkah kiri apabila tewas set pertama 13-21 di tangan gandingan berpengalaman itu.

Pang Ron-Su Yin cuba mengubah rentak permainan dan percaturan mereka ternyata berjaya apabila menang 23-21 pada set kedua untuk mengheret aksi ke set penentuan.

Mereka meneruskan rentak bertenaga apabila mengesahkan kemenangan ke atas pasangan suami isteri itu 21-17 dalam masa 55 minit permainan.

Menerusi keputusan tersebut menyaksikan rekod kemenangan mereka ke atas pasangan nombor enam dunia itu terikat kepada 1-1.

Pang Ron-Su Yin akan berdepan pasangan China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin atau wakil Denmark, Jesper Toft-Amalie Magelund dalam aksi suku akhir pada Jumaat.

Scroll to Top