Panggung wayang di Perlis patuh syariah

Panggung wayang di Perlis patuh syariah

KANGAR: Kemudahan panggung wayang di Perlis akan diaplikasikan dengan pendekatan patuh syariah yang antaranya seperti pengasingan tempat duduk lelaki dan wanita.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, selain pengasingan itu, ruangan lampu di dalam panggung juga tidak terlalu gelap.

Katanya, panggung wayang berkenaan juga perlu mempunyai ruangan untuk lelaki, wanita dan keluarga.

“Peringkat awal mereka perlu selesai mengenai Sijil Layak Menduduki (CF) terlebih dahulu baru layak hantar sebarang permohonan. Di peringkat kita, (kerajaan negeri) sudah tahu, akan ada panggung wayang di pusat membeli-belah yang akan dibuka hujung tahun ini,” katanya.

Kelmarin Utusan Malaysia melaporkan, Perlis bakal mempunyai pusat beli-belah terbesar apabila Kangar Jaya Mall dijangka dibuka penghujung tahun ini yang dilengkapi pawagam, sekali gus mengembalikan semula kemudahan itu selepas hampir 25 tahun tiada.

Kali terakhir rakyat negeri ini berpeluang menonton wayang adalah di Panggung Kapitol sekitar tahun 2001 sebelum terpaksa ke negeri jiran bagi menikmati tayangan filem terbaharu.

Dengan pelaburan sekitar RM100 juta, kompleks moden setinggi tiga tingkat itu dibina di atas lokasi strategik di sini dan dilengkapi dengan 870 petak tempat letak kereta demi menjamin keselesaan maksimum para pengunjung.

Pengurus C-Mart 3 Sdn. Bhd., Kim Lin Teng dilaporkan berkata, antara tarikan utama di pusat membeli-belah tersebut ialah Golden Screen Cinemas (GSC) yang menampilkan enam panggung wayang berkapasiti 696 tempat duduk.

Ia termasuk kemudahan PlayPlus di GSC dilengkapi pelbagai kemudahan yang pertama di utara Semenanjung Malaysia.

Tambah Asrul Aimran, Perlis akan melihat pendekatan sebagai mana di Terengganu dan Kedah.

“Mereka sudah lama, ada panggung wayang, kita yang baru ini, akan melihat kaedah patuh syariah seperti negeri tersebut,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top