Washington: Amerika Syarikat (AS) mempunyai ribuan tentera yang ditempatkan di pangkalan-pangkalan di seluruh Timur Tengah dengan pasukan tentera Washington menjalankan operasi ketenteraan berulang kali dalam beberapa dekad kebelakangan ini.
Israel melancarkan kempen udara yang belum pernah terjadi sebelum ini terhadap Iran minggu lalu dan Presiden AS Donald Trump menyatakan bahawa beliau sedang mempertimbangkan untuk menyertai Israel dalam pertempuran itu.
Pembabitan AS dalam konflik ini berkemungkinan besar akan menyebabkan serangan oleh Tehran terhadap tentera Amerika di rantau itu yang sebelum ini sudah menjadi sasaran oleh pasukan bersekutu Iran semasa perang Israel-Hamas.
AFP meneliti negara-negara yang mempunyai penempatan besar tentera AS di Timur Tengah yang berada di bawah Pemerintahan Pusat Tentera AS (CENTCOM) seperti berikut:
Bahrain
Negara kecil di Teluk ini menempatkan pangkalan yang dikenali sebagai Naval Support Activity Bahrain yang menjadi ibu pejabat Armada Kelima Tentera Laut AS dan Komando Pusat Tentera Laut AS.
Pelabuhan air dalam Bahrain mampu menampung kapal tentera AS terbesar termasuk kapal pengangkut pesawat dan Tentera Laut AS menggunakan pangkalan ini sejak 1948 ketika ia masih dioperasikan oleh Tentera Laut Diraja Britain.
Beberapa kapal AS berpangkalan di Bahrain termasuk empat kapal pemusnah periuk api dan dua kapal sokongan logistik. Pengawal Pantai AS juga mempunyai kapal di negara ini termasuk enam kapal pemintas pantas.
Iraq
Amerika Syarikat mempunyai tentera di beberapa pangkalan di Iraq termasuk Pangkalan Udara Al-Asad dan Arbil. Kerajaan Iraq juga sekutu rapat Iran, namun juga rakan strategik kepada AS yang menjadi musuh utama Tehran.
Terdapat kira-kira 2,500 tentera AS di Iraq sebagai sebahagian daripada gabungan antarabangsa menentang kumpulan militan Daesh. Baghdad dan Washington bersetuju dengan jadual penarikan berperingkat tentera gabungan dari negara itu.
Tentera AS di Iraq dan Syria sudah beberapa kali diserang oleh militan pro-Iran selepas tercetusnya perang Gaza pada Oktober 2023, tetapi mereka bertindak balas dengan serangan berat terhadap sasaran dikaitkan dengan Tehran dan serangan itu kebanyakannya reda.
Kuwait
Kuwait mempunyai beberapa pangkalan tentera AS termasuk Camp Arifjan, lokasi ibu pejabat hadapan bagi komponen Tentera Darat CENTCOM. Tentera Darat AS juga menyimpan kelengkapan praposisi di negara ini.
Pangkalan Udara Ali al-Salem menempatkan 386th Air Expeditionary Wing iaitu hab utama pengangkutan udara dan pintu masuk bagi penghantaran kuasa tempur kepada pasukan bersama dan pakatan di rantau ini.
Selain itu, AS juga mempunyai dron seperti MQ-9 Reapers di Kuwait.
Qatar
Pangkalan Udara Al Udeid di Qatar menempatkan komponen hadapan CENTCOM, serta pasukan udara dan operasi khas di rantau ini.
Ia juga menjadi tuan rumah kepada pesawat tempur bergilir serta 379th Air Expeditionary Wing yang merangkumi pengangkutan udara, pengisian bahan api di udara, risikan, pengawasan, peninjauan serta pemindahan perubatan udara.
Syria
AS mengekalkan kehadiran tentera di beberapa pangkalan di Syria selama bertahun-tahun sebagai sebahagian daripada usaha antarabangsa menentang kumpulan Daesh yang muncul dari perang saudara negara itu dan menguasai sebahagian besar wilayah Syria dan Iraq berjiran.
Pentagon mengumumkan pada April bahawa ia akan mengurangkan separuh kehadiran tenteranya di negara itu kepada kurang 1,000 anggota dalam beberapa bulan akan datang sebagai sebahagian daripada penyusunan semula tentera AS di sana.
Emiriah Arab Bersatu (UAE)
Pangkalan Udara Al Dhafra di UAE menempatkan 380th Air Expeditionary Wing, sebuah pasukan terdiri daripada 10 skuadron pesawat termasuk dron seperti MQ-9 Reapers.
Pesawat tempur bergilir beroperasi di Al Dhafra yang juga menjadi lokasi Gulf Air Warfare Center untuk latihan pertahanan udara dan peluru berpandu.
© New Straits Times Press (M) Bhd