SIKAP memilih bulu atau pilih kasih masih menebal dalam kalangan segelintir masyarakat hingga mewujudkan perbezaan layanan terhadap individu yang berlainan latar belakang.
Jika seseorang memiliki status sosial tinggi atau berpengaruh, layanan diberikan penuh mesra, tetapi apabila berdepan dengan orang kebanyakan, sikapnya berubah menjadi acuh tak acuh.
Begitu juga apabila individu ternama melakukan pelanggaran undang-undang, ada yang memilih untuk berdiam diri, mengunci mulut atau mencari helah melindunginya.
Namun, apabila orang biasa pula melakukan kesalahan, laju sahaja mereka dihukum tanpa belas kasihan.
Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menjelaskan, fenomena itu bukan perkara baharu kerana ia pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW.

DR AHMAD SANUSI
Jelas beliau, sejarah mencatatkan kisah seorang wanita daripada Bani Makhzum, kabilah berpengaruh dalam kalangan Quraisy yang melakukan kesalahan mencuri.
“Bani Makhzum ialah antara kabilah ‘VIP’ (ternama) yang mempunyai kedudukan dan pengaruh besar.
“Apabila wanita ini didapati mencuri, tiada siapa berani memaklumkan kepada Rasulullah SAW kerana mahu menjaga kedudukan kumpulan berpengaruh ini,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya pada Selasa.
Bagi mengelakkan wanita itu menerima hukuman, jelas ahli akademik itu, Quraisy mengambil langkah diplomasi songsang dengan menghantar individu paling disayangi Baginda SAW iaitu Usamah bin Zaid.
“Usamah dikenali sebagai antara orang yang sangat dikasihi Rasulullah SAW.
“(Imam) Al-Bukhari menggunakan lafaz hibbu Rasulillah yang bermaksud ‘orang yang disayangi Rasulullah’,” ujar beliau.
Namun, Dr Ahmad Sanusi menjelaskan, usaha itu menemui kegagalan dan telahan Quraisy meleset apabila reaksi Rasulullah SAW terhadap rayuan Usamah cukup tegas serta mengejutkan.

RASULULLAH SAW sangat bertegas dalam memastikan keadilan ditegakkan tanpa mengira pangkat, kedudukan atau pengaruh. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
Baginda marah lalu bangkit berkhutbah:
“Apakah kamu meminta syafaat (supaya hukuman digugurkan) berkenaan hukuman hudud ini? Sesungguhnya telah binasa umat sebelum kamu kerana apabila yang mencuri itu orang berpengaruh, kamu bebaskan. Dan apabila yang mencuri itu orang yang lemah (orang biasa), maka kamu kenakan hukuman hudud terhadap mereka.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Menurut beliau, khutbah itu menunjukkan betapa Rasulullah SAW sangat bertegas dalam memastikan keadilan ditegakkan tanpa mengira pangkat, kedudukan atau pengaruh.
“Pangkat dan kedudukan tidak mengecualikan seseorang daripada hukuman keadilan. Begitu juga dengan pemimpin hari ini, perlu bertegas dalam perihal keadilan.
“Rasulullah SAW telah memberikan amaran kepada kita bahawa yang merosakkan sistem keadilan adalah sikap pilih kasih dalam hukuman,” tegas beliau.