Panglima ATM harap proses perdamaian Thailand-Kemboja tidak tergendala

Panglima ATM harap proses perdamaian Thailand-Kemboja tidak tergendala

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyokong proses perdamaian antara Thailand-Kemboja susulan insiden terbaru membabitkan dua negara jiran yang membantutkan perjanjian damai.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar mengucapkan takziah kepada Thailand atas kematian anggota tentera mereka dalam insiden itu namun berpendapat rundingan damai tidak boleh tergendala.

“Kita faham akan ada tempoh bertenang susulan insiden itu, tetapi kita berharap proses perdamaian boleh diteruskan.

“Takziah kepada pihak Thailand atas kehilangan nyawa askar mereka namun proses perdamaian ini amat penting,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, perkara itu bagaimanapun perlu diputuskan oleh negara terbabit kerana membabitkan hubungan bilateral kedua-dua kerajaan namun menjadi tanggungjawab pihaknya untuk membantu sebagai negara ASEAN.

Katanya, Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT) kini berada kira-kira 40 kilometer (KM) dari kawasan konflik dan akan diarahkan kembali masing-masing ke Bangkok serta Phnom Penh sekiranya keadaan kembali meruncing di kawasan berkenaan.

Mohd Nizam berkata, setakat ini beberapa perancangan yang dipersetujui dalam perjanjian damai sebelum ini sudah dilaksanakan antaranya proses pengunduran jentera berat dan kerja-kerja mematikan periuk api.

Terdahulu media melaporkan, Thailand pada Isnin mengumumkan penggantungan pelaksanaan perjanjian damai dengan Kemboja, susulan satu letupan periuk api mencederakan dua askarnya berhampiran sempadan.

Perjanjian itu yang diselia oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, bertujuan menjamin penamat berkekalan kepada permusuhan berikutan pertempuran sempadan pada Julai yang mengorbankan sekurang-kurangnya 43 orang dan menyebabkan lebih 300,000 orang awam di kedua-dua belah pihak kehilangan tempat tinggal.

Kedua-dua negara Asia Tenggara itu mempunyai pertikaian berkaitan bahagian sempadan mereka sejak lebih seabad lalu, tetapi pertempuran Julai dicetuskan oleh dakwaan Thailand bahawa Kemboja menanam periuk api yang mencederakan tenteranya.

Thailand dan Kemboja bersetuju dengan gencatan senjata awal pada akhir Julai berikutan campur tangan oleh Trump, serta diplomat China dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mempengerusikan blok Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top