Islamabad: Angka kematian akibat runtuhan bangunan kediaman di Karachi, Pakistan, meningkat kepada 21 orang, pada semalam, selepas pasukan penyelamat meneruskan hari kedua bagi misi mencari mangsa yang terselamat.
Pihak berkuasa berkata, bangunan itu diisytiharkan tidak selamat dan notis pengusiran dihantar kepada penghuni sejak tiga tahun lalu, namun pemilik dan beberapa penduduk memberitahu AFP mereka tidak menerimanya.
Penduduk melaporkan mendengar bunyi retak sejurus sebelum blok pangsapuri itu runtuh kira-kira 10 pagi pada Jumaat lalu.
Lokasi kejadian di Lyari iaitu kawasan perumahan miskin di Karachi, yang pernah dilanda keganasan kumpulan dan dianggap sebagai salah satu lokasi paling berbahaya di Pakistan.
Angka kematian menjadi 21 orang pada lewat Sabtu, dan operasi menyelamat sedang dijalankan, kata pegawai kanan kerajaan daerah, Javed Nabi Khoso.
“Anak perempuan saya berada di bawah runtuhan.
“Dia adalah anak perempuan kesayangan saya. Dia sangat sensitif tetapi berada di bawah beban serpihan. Dia berkahwin enam bulan lalu,” kata lelaki dikenali Dev Raj, 54, kepada AFP di tempat kejadian.
Awal Sabtu, keluarga berkata, sekurang-kurangnya lapan individu masih dipercayai terperangkap ketika suhu meningkat kepada 33 darjah Celsius.
Khoso berkata, notis disampaikan pada 2022, 2023 dan 2024 kepada penghuni.
“Kami tidak mahu mengenakan perintah secara paksa.
“Kami menghantar notis (pengusiran) kepada mereka untuk meninggalkan bangunan. Mereka tidak mengambil serius notis itu,” katanya kepada AFP.
Bagaimanapun, Imran Khaskheli, pemilik dan penduduk yang menyaksikan operasi menyelamat pada Sabtu, menafikan menerima notis.
“Adakah kamu fikir kami hilang akal untuk tinggal di bangunan yang tidak selamat bersama keluarga kami?” katanya.
Imran memberitahu AFP, dia melihat rekahan pada tiang bangunan itu awal Jumaat.
“Saya mengetuk semua pintu dan meminta keluarga beredar segera,” katanya sambil menambah kira-kira 40 keluarga tinggal di bangunan itu, namun ramai yang tidak mengendahkan amarannya.
Lebih 50 bangunan di daerah itu diisytiharkan tidak selamat, dengan enam bangunan dikosongkan sejak semalam, menurut Khoso.
© New Straits Times Press (M) Bhd