Panik dituduh edar dadah, lelaki serah RM306,824.94 kepada 'polis' palsu

Panik dituduh edar dadah, lelaki serah  RM306,824.94 kepada 'polis' palsu

am@metro.com.my

Pontian : Seorang penyelia kilang berusia 51 tahun, di sini, berputih mata apabila rugi RM306,824.94 selepas menjadi mangsa kes penipuan ‘phone scam’.

Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussien Mion Hussaian berkata, mangsa memaklumkan dihubungi melalui perbualan telefon oleh pihak insurans yang menyatakan bahawa pengadu (mangsa) sudah membuat tuntutan palsu bagi menuntut pembayaran atas kematian isterinya.

Katanya, perbualan dalam telefon itu disambungkan kepada pihak yang menyamar sebagai polis bagi membuat semakan rekod jenayah dan pada masa mangsa dimaklumkan terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram dan pengedaran dadah.

“Oleh kerana terpedaya dengan dakwaan itu, mangsa membuat bayaran beberapa transaksi ke beberapa akuan suspek bermula 7 Oktober hingga 4 Disember lalu dengan jumlah RM306,824.94. Dia dimaklumkan kononnya ia akan disimpan bagi tujuan pengauditan dan akan dipulangkan selepas selesai oleh Jabatan Audit Negara.

“Mangsa kemudian membuat semakan dengan menghubungi kenalan rapat yang bekerja dalam sektor perundangan bagi mengesahkan mengenai masalah berkenaan, namun dimaklumkan ia satu penipuan, ” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hadzrat Hussien berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Katanya, polis menasihatkan orang ramai lebih cakna dan mengambil tahu trend semasa jenayah komersil bagi mengelakkan diri menjadi mangsa penipuan.

“Sekiranya menjadi mangsa penipuan, hubungi National Scam Responser Centre (NSRC) di talian 997 dengan seberapa segera sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran keluar wang dari akaun suspek,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top