Panjat tab mandi & keluar ikut tingkap tandas, kanak2 lelaki 3 tahun maut terjatuh dari tingkat 10

Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dilaporkan maut akibat terjatuh daripada kediamannya di tingkat 10, Kondominium Dutamas 28, semalam.

Memetik laporan Sinar Harian, kanak-kanak itu dipercayai memanjat tab mandi dan naik ke atas tembok sebelum memanjat keluar dari tingkat tandas.

Menurut Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima laporan pada jam 3.30 petang.

“Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai memanjat tab mandi dan naik ke atas tembok, kemudian memanjat keluar ikut tingkap tandas.

“Semasa kejadian ibunya berada di ruang tamu.”jelasnya mengenai kejadian tersebut.

Tambah Eng Lai, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.

“Kanak-kanak itu terjatuh di tingkat tiga kondominium itu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya.

Eng Lai berkata, siasatan lanjut kes berkenaan masih dijalankan, namun ibu mangsa dalam kesedihan dan terkejut sehingga menyukarkan mereka untuk menyoal siasat.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan tetapi buat masa ini ibu mangsa masih sangat sedih dan kita beri dia masa dahulu kerana kita tak mahu emosi dia terganggu.

“Jadi, kita tunggu mayat itu dibedah siasat.”katanya lagi.