Pantai Tanjung Bidara berwajah baharu tahun depan – KM Melaka

Pantai Tanjung Bidara berwajah baharu tahun depan – KM Melaka

am@hmetro.com.my

Masjid Tanah: Pantai Tanjung Bidara bakal berwajah baharu bermula tahun depan dengan penambahbaikan infrastruktur serta kemudahan awam bagi menjadikannya destinasi pelancongan ikonik.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata pembangunan itu dilaksanakan secara berperingkat dengan memberi tumpuan kepada aspek keselesaan dan keselamatan pengunjung.

Menurutnya, sebagai langkah awal, semua struktur bangunan lama sudah dirobohkan dan diganti dengan binaan baharu yang lebih moden serta mesra pelancong.

“Kita juga memperluaskan kawasan parkir selain menyediakan ruang khusus untuk peniaga kecil supaya mereka turut merasai limpahan manfaat sektor pelancongan,” katanya selepas menutup Pesta Pantai Tanjung Bidara 2025, di sini hari ini.

Pesta pantai selama tiga hari itu mencatatkan jumlah kehadiran lebih 25,000 pengunjung termasuk peserta bagi 40 program yang dirangkumkan dalam pesta berkenaan.

Ia termasuk persembahan kebudayaan, pertandingan Raja dan Ratu Dondang Sayang serta aktiviti rekreasi bersama agensi keselamatan termasuk polis, bomba dan tentera.

Mengulas lanjut, Abd Rauf berkata, pihaknya mahu menjadikan Tanjung Bidara bukan sahaja pusat rekreasi keluarga, tetapi juga pentas memartabatkan seni budaya Melayu.

Katanya, sebagai tarikan tambahan, litar kawalan jauh (RC) bernilai RM500,000 turut dirasmikan hari ini dan dijangka menjadi tumpuan peminat sukan lasak serta hobi, termasuk pelancong antarabangsa.

“Serentak dengan kejayaan penganjuran kali kedua itu, Pesta Pantai Tanjung Bidara ini akan diteruskan sebagai acara tahunan berskala lebih besar dengan sasaran memberi impak positif terhadap ekonomi setempat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top