Pantau rapat pelajar pastikan tidak terbabit aktiviti ekstremis, keganasan

Pantau rapat pelajar pastikan tidak terbabit aktiviti ekstremis, keganasan

am@hmetro.com.my

Butterworth: Kementerian Pendidikan (KPM) memantau rapat penglibatan pelajar sekolah dalam mana-mana aktiviti bagi memastikan tiada yang berorientasikan keganasan termasuk dakyah kumpulan Islamic State (IS) menyusup ke institusi di bawah kendaliannya.

Menteri Fadhlina Sidek berkata, KPM sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk mengekang perkara itu daripada menular dalam kalangan pelajar sekolah, sekali gus memastikan mereka dilindungi daripada terpengaruh dengan ajaran bertentangan.

“Kita sudah serahkan perkara ini (aktiviti ekstremis menyasarkan anak muda) kepada pihak berkuasa untuk siasatan.

“Pada masa sama, di peringkat KPM, kita pantau penglibatan pelajar dalam institusi pendidikan kita, supaya anasir-anasir itu tidak masuk khususnya dalam institusi pendidikan kita.

“Jadi kita bekerjasama dengan sangat rapat dengan pihak kuasa bagi memastikan pengaruh ataupun tindakan-tindakan yang diambil selaras dengan undang-undang dan juga bagi melindungi anak-anak kita, warga kita dan keseluruhan institusi pendidikan kita daripada pengaruh, khususnya yang terkait rapat dengan Daesh (IS) dan juga keganasan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung aktiviti IS yang didapati mula menyasarkan anak muda di negara ini, tidak terkecuali membabitkan pelajar sekolah.

Ia susulan penanahan enam remaja lelaki berusia 16 hingga 21 tahun dalam operasi khas Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 14 dan 15 Februari lalu, selepas disyaki terbabit dalam aktiviti IS.

Terdahulu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal hadir merasmikan Program Sekolah Dalam Hospital di Hospital Seberang Jaya (HSJ), di sini, hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top