mdroji@nstp.com.my
KUCHING : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat pemantauan berterusan terhadap telur ayam di pasaran tempatan bagi mengesan kemungkinan adanya pencemaran Salmonella Enteritidis (SE).
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pihaknya tidak akan membiarkan isu itu menjadi masalah besar sehingga boleh memudaratkan pengguna.
Beliau berkata, selepas kes pertama dikesan minggu lalu, penguat kuasa KPDNHEP menanganinya dengan baik mengesan produk yang dicemari dan langkah sama diambil selepas Agensi Makanan Singapura (SFA) mengesan produk dari satu lagi ladang pengeluaran telur ayam di negara ini dicemari SE.
“Kes yang berlaku sebelum ini sudah terkawal dan anggota penguat kuasa KPDNHEP sentiasa memantau dan memeriksa untuk mengesan jika ada telur di pasaran tempatan yang tercemar.
“Kami akan bertindak segera jika berlaku lagi pencemaran serupa bagi mengelak ia menjadi masalah besar kemudian nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Malaysia Prihatin di Hotel Waterfront, di sini, hari ini.
Semalam, pihak berkuasa Singapura mengarahkan beberapa pengimport menarik balik telur dari sebuah ladang, selepas mengesan adanya SE di dalam produk terbabit.
Ia adalah yang kedua dalam masa seminggu pihak berkuasa negara itu menarik balik telur dari ladang di Malaysia kerana pencemaran SE.
Sementara itu, mengenai Program Malaysia Prihatin, Nanta berkata, beliau bersama semua Menteri dan Timbalan Menteri dari Sarawak akan memberi penerangan kepada rakyat negeri ini berhubung usaha Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk menangani pandemik COVID-19.
“Kami ditugaskan untuk memberikan penjelasan terperinci agar rakyat tidak terkeliru dengan pelbagai maklumat tidak benar yang tersebar,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




